Mungkinkah Kabinet terakhir BN?

Bersesuaian konsep ‘Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Prestasi Diutamakan’ pada 9 April, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan barisan Kabinet baru terdiri 28 menteri dan 40 timbalan menteri. Seperti dijangkakan, beliau mengurangkan jumlah kementerian daripada 27 kepada 25.

Najib ketika mengumumkan barisan Kabinet baru itu, dengan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri, antara lain menyebut, “Kita harus memahami bahawa era kerajaan yang bertindak mengawal secara keterlaluan dan mengamalkan sikap ‘kerajaan lebih mengetahui’ sudah berlalu.

Kita akan hanya mampu mencapai cita-cita untuk Malaysia apabila kerajaan serta rakyat bersama-sama bersatu tenaga membina sebuah negara yang aman lagi makmur.”

Najib yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April dalam taklimat media selepas mengumumkan barisan Kabinetnya juga berkata: “Saya mengambil kira kepentingan parti dan rakyat. Tetapi, pertimbangan utama saya adalah rakyat.” Beliau mengakui ada yang cuba melobi untuk mendapatkan jawatan Kabinet melalui orang di kelilingnya, tetapi beliau menegaskan, “Saya tak dimakan dilobi mana-mana pihak.”

Pada hari berikutnya, sebagai reaksi terhadap perasaan tidak puas hati sesetengah anggota UMNO, beliau mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan keutamaannya: “Adalah mustahil untuk memuaskan hati semua orang. Saya pilih untuk memuaskan hati masyarakat awam, paling utama rakyat.”

Menjadi kelaziman, setiap kali Perdana Menteri membentuk barisan Kabinet baru atau melakukan rombakan Kabinet, pelbagai pihak seperti pengulas politik, komuniti perniagaan, golongan profesional, media massa, dan rakyat jelata mengalu-alukannya dengan harapan yang tinggi. Malah, Tengku Razaleigh Hamzah, yang sebelum ini dilibatkan dengan pakatan berusaha menyekat Najib daripada dilantik sebagai Perdana Menteri turut memberikan harapan bahawa barisan Kabinet ini dapat memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN.

“Jawatan penting dipegang oleh orang yang rapat dan setia dengan Najib,” ulas Yang Razali Kassim dari S Rajaratnam School of International Studies di Singapura, seperti dilaporkan oleh agensi berita AFP.

“Saya fikir barisan Kabinet ini merupakan kekuatan baru bagi beliau. Meskipun terdiri daripada beberapa muka lama, tetapi cara beliau menyusun semula kedudukan memberikan seluruh pasukan ini erti pembaharuan bagi Najib untuk mengorak kepimpinan barunya.”

Pada hari Najib mengumumkan barisan Kabinetnya, Bursa Malaysia menunjukkan 'keriangan' apabila harga saham ditutup tinggi sebagai menandakan sentimen positif. Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) ditutup pada 917.89 mata, dengan 10.02 mata lebih tinggi daripada hari sebelumnya. Volum urus niaga meningkat kepada 715.124 juta saham dengan nilai RM990.704 juta berbanding 613.012 juta saham dengan nilai RM945.836 juta pada hari Rabu. Ahli ekonomi berpendapat bahawa barisan Kabinet baru itu selari dengan jangkaan pasaran. 'Keriangan' ini berterusan pada Jumaat apabila KLCI meningkat sebanyak 23.49 mata (2.56 peratus) kepada 941.38 mata, dengan volum meningkat kepada 1.155 bilion saham yang bernilai RM1.298 bilion – sebagai reaksi positif terhadap barisan Kabinet baru Najib.

Suara perubahan

Melihat keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 8 Mac 2008, kemudian keputusan pilihan raya kecil di Permatang Pauh pada Ogos lalu, dan tiga lagi pada tahun ini, iaitu Parlimen Kuala Terengganu, Parlimen Bukit Gantang, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, timbul persoalan yang pesimistik berbaur sinis: Apakah ini Kabinet terakhir Barisan Nasional (BN)? Dengan kata lain, selepas PRU akan datang, apakah masih ada Kabinet BN? Apakah kemungkinan digantikan oleh Kabinet pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR)?

UMNO sebagai tonggak BN kelihatan semakin lemah akibat pergolakan dalaman dan serangan bertalu-talu daripada PR. Jika tiga keputusan pilihan raya kecil dijadikan sandaran, di Permatang Pauh, UMNO tumbang; di Kuala Terengganu, UMNO hanyut; dan di Bukit Gantang, UMNO terlentang; maka masa depan parti Melayu ini menjadi tanda tanya.

Keadaan semakin buruk apabila parti komponen BN, terutamanya MCA dan Gerakan 'tumpang sekaki' menyerang dan seterusnya melemahkan UMNO. Parti-parti komponen BN berusaha 'mengasak UMNO hingga ke dinding' dengan mengemukakan pelbagai tuntutan, seperti jawatan Timbalan Perdana Menteri Kedua untuk kaum Cina serta tambahan jawatan menteri, melemparkan pelbagai tuduhan liar serta menyalahkan UMNO berhubung dengan segala nasib malang yang kini sedang melanda BN, dan sekali-sekala mempersoalkan hak istimewa orang Melayu.

Jika suara perubahan bergema di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini yang belum pasti direalisasikan, dalam kalangan rakyat Malaysia, angin perubahan semakin bertiup kencang. Mereka bukan sahaja menunjukkan keriangan terhadap satu demi satu kekalahan BN, bahkan ingin menjadi sebahagian orang bertanggungjawab menumbangkan parti yang memerintah Malaysia sejak sebelum merdeka. Ini bukan sekadar sorak-sorai atau kokok berderai-derai, tetapi sesuatu yang sedang berlaku, iaitu perubahan.

Berhubung dengan Kabinet baru ini, bekas Menteri Besar yang juga bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, berpendapat, "Kurang tiga kementerian, sudah dikira baik." Namun, tambah beliau, "Kalau ini usaha 'damage control', agak sudah terlambat.” Malah, dengan agak keterlaluan, beliau menyebut, "UMNO sudah hampir nazak." Adakah ini Kabinet terakhir BN? Beliau beranggapan, "Rasanya begitu. Nampak sangat tidak banyak pilihan."

PR, terutamanya apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim aktif semula dalam politik menyerang BN yang diterajui oleh UMNO dengan membangkitkan amalan rasuah, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, dan penindasan. Dengan kata lain, mereka menggambarkan BN sebagai sebuah parti penuh segala kecomotan dan bergelumang dengan pelbagai kemungkaran.

Sejak pilihan raya kecil Ijok pada 2007, parti pembangkang itu mendapat 'sentuhan ajaib', iaitu menyerang peribadi Najib. Meskipun tidak membuahkan hasil, namun mereka masih meneruskan serangan peribadi ini dalam PRU-12, dan nyata meninggalkan kesan yang cukup mendalam. Taktik ini terus membuahkan hasil dalam setiap pilihan raya kecil di Semenanjung, dan akibatnya kemenangan kian jauh dari BN.

Tugas hakiki

Serangan peribadi ini bukan sahaja berjaya mempengaruhi pendapat awam dan mengubah pendirian orang ramai, malah turut memperdaya sesetengah ahli UMNO. Maka, tidak hairan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO ketika itu, dalam ucapan sempena Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir mengingatkan, “Kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib akan menjadi lemah sekiranya ahli-ahli UMNO terus mempersendakan peribadi beliau.”

Menyedari bahawa melancarkan serangan yang terarah kepada Najib cukup berkesan, dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 7 Jan lalu, PR memperkenalkan satu lagi 'sentuhan ajaib', iaitu 'referendum untuk Najib' yang ketika itu bakal Perdana Menteri. Referendum ini terus bergema dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau pada 7 April lalu. Melihat hasil dicapai oleh PR dalam ketiga-tiga pilihan raya kecil itu, tidak mustahil 'referendum untuk Najib' akan menjadi tema manifesto mereka dalam pilihan raya seterusnya. Apakah Najib sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri akan terus dihantui oleh referendum ini?

Dalam ucapan perasmian tiga sayap UMNO, iaitu Wanita, Pemuda, dan Puteri, Najib meminta supaya beliau diberikan saf yang padu. Namun daripada keputusan pemilihan, baik di peringkat ketiga-tiga sayap parti mahupun UMNO, beliau tidak memperoleh saf yang diidam-idamkan. Saf yang padu dalam erti kata memiliki keberanian untuk 'berperang' dan seterusnya mencipta kejayaan dalam menghadapi PR yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim. Berdasarkan keputusan dua pilihan raya kecil baru-baru ini, pada hakikatnya, saf baru belum mempunyai cukup kekuatan untuk menghadapi PR.

Berbanding dengan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden, kedua-duanya memiliki ketajaman politik, kecemerlangan pentadbiran, kedalaman intelektual, dan kematangan berfikir. Namun, sesetengah anggota yang dipilih baru-baru ini menjadi persendaan orang ramai. Oleh itu, mereka tidak mempunyai keupayaan untuk memulihkan keyakinan di kalangan orang ramai.

Najib nampaknya sedar bahawa untuk menawan semula hati rakyat, beliau tidak boleh bergantung semata-mata pada saf baru UMNO, lalu beliau menegaskan dalam membentuk Kabinet, pertimbangan utamanya adalah rakyat. Malah, dalam pengumuman barisan Kabinet itu beliau berkata, "Saya yakin kesemua mereka berkongsi iltizam padu bagi memacu negara ke arah kecemerlangan.

Inilah saf dan pasukan yang kita harapkan menjadi cerminan kekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui BN, yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelosok...satu Malaysia.”

Tugas hakiki mendepani barisan Kabinet baru adalah mematahkan senjata tajam PR, iaitu persendaan peribadi dan referendum. Jika keterhakisan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN tidak lebih daripada simptom, dan bukannya masalah, maka persendaan peribadi dan 'referendum untuk Najib' pula tidak lebih daripada usaha terancang untuk mengajak rakyat menghakimi kepopularan Perdana Menteri baru.

Namun, barisan Kabinet baru dibentuk tidak boleh membiarkan PR menjadikan Najib sebagai 'tebusan' mereka selama-lamanya kerana ini seperti yang terbukti, akan melemahkan BN. Seandainya usaha ini tidak dilakukan, nescaya 'Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan' hanya tinggal sebagai slogan kosong. Bahkan, tidak mustahil, inilah barisan Kabinet terakhir untuk BN.

Dengan tanggungjawab digalas dan amanah yang dipikul, barisan para menteri dan timbalan menteri mempunyai misi yang runcing lagi genting, iaitu memastikan sebuah tragedi tidak terpahat dalam lipatan sejarah, iaitu berakhirnya kerajaan BN.

- SINAR HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url