Pelaksanaan ISA perlu dikaji

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM

Proses kajian semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlu memberi perhatian khusus kepada aspek pelaksanaan kerana ia adalah punca utama penentangan pelbagai pihak terhadapnya.

Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, pelaksanaan ISA mestilah selari dengan peredaran zaman dan peningkatan kesedaran terhadap hak asasi manusia.

"Masalah sekarang ialah rakyat bukannya tidak bersetuju dengan falsafah ISA, yang dipertikaikan ialah pelaksanaannya, sebagai contoh tangkap hari ini, esok sudah dibebaskan sedangkan kerajaan kata mereka mengancam keselamatan negara.

"Sepatutnya ia digunakan apabila undang-undang lain sudah tidak berkesan atau keselamatan negara benar-benar terancam, kalau belum ke tahap itu kita gunakan undang-undang lain dahulu," katanya yang dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri pada Jumaat lalu bahawa kerajaan akan mengkaji semula ISA.

Mengulas lanjut, Mohd. Mustapha menegaskan kajian itu bagaimanapun tidak boleh dibuat sehingga ISA kehilangan 'taringnya' dan keselamatan negara dikompromi.

"Walaupun kajian semula dibuat, ISA mestilah menjadi satu akta yang amat digeruni oleh mana-mana pihak yang berniat menggugat keselamatan negara," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, kerajaan wajar mengkaji semula tempoh penahanan tanpa bicara termasuk lanjutan penahanan setiap dua tahun sekali yang tidak demokratik.

Beliau mencadangkan tempoh penahanan pesalah subversif umpamanya perlu dihadkan kepada setahun sahaja dan jika kesalahan itu gagal dibuktikan di mahkamah mereka perlu anggap telah pulih sepenuhnya.

"Saya bersetuju dengan ISA sebagai akta antisubversif namun tempoh penahanan tanpa bicara dan kuasa melanjutkan tempoh itu setiap dua tahun sekali adalah melampau," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendapat keputusan untuk mengkaji ISA tidak bermakna kerajaan tunduk kepada desakan pembangkang dan rakyat pula wajar menyokongnya jika ia baik untuk negara.

Sementara itu Kesatuan Sekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) turut mengalu-alukan kajian itu kerana seramai 18 ahlinya pernah ditahan ISA pada 1979 apabila timbul pertikaian perusahaan antara majikan dan kesatuan walaupun ia sepatutnya diselesaikan mengikut piawaian taraf perburuhan antarabangsa.

Sehubungan itu Setiausaha Eksekutifnya, Mustafar Maarof mencadangkan kajian semula ISA ditumpukan kepada tiga perkara berikut:

- Pindaan penguatkuasaan ISA perlu diselaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Enakmen-Enakmen Kerajaan Negeri bagi memperkukuhkan kuasa Sultan dan Majlis Raja-Raja.

- Merealisasikan konsep Satu Malaysia bagi mengelakkan pihak tertentu mempermainkan isu berbentuk perkauman yang boleh menimbulkan provokasi sehingga mengancam negara.

- Cadangan kajian semula ISA mesti selaras dengan Deklarasi Mekah sesi ke-16 yang menyebut pengganas tidak mempunyai kaitan dengan Islam manakala jihad pula tiada hubungan dengan tindakan keganasan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url