Pilihan raya Indonesia bermula

Pilihan raya Parlimen Indonesia yang diadakan pada hari ini akan menjadi medan penentu sama ada Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang propembaharuan akan dipilih bagi penggal kedua, kata beberapa penganalisis politik semalam.

Mereka turut memberitahu, pilihan raya umum kali ini bakal menyaksikan peranan parti-parti Islam menjadi semakin lemah di negara itu.

Selepas beberapa minggu perhimpunan politik yang dimeriahkan dengan kibaran bendera di Indonesia, suasana menjelang pilihan raya semalam bertukar sepi menandakan waktu berkempen sudah tamat.

Lebih 170 juta orang meliputi 9,000 buah pulau layak mengundi bagi memilih 560 anggota Parlimen manakala kira-kira 11,000 calon daripada 38 buah parti pula bertanding dalam pilihan raya tahun ini.

Keputusan pilihan raya tersebut akan menentukan siapakah yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden pada Julai depan.

Ini kerana parti atau kerajaan campuran yang memenangi satu perlima atau 25 peratus kerusi Parlimen layak mengemukakan seorang calon dalam pilihan raya Presiden.

Bagi Parti Demokratik yang diterajui Susilo, kemenangan dalam pilihan raya kali ini bermakna beliau tidak perlu membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti lain di mana sesetengahnya keberatan untuk bekerjasama dalam membasmi rasuah, membaik pulih sistem kehakiman dan memantapkan birokrasi.

"Berdasarkan perkembangan semasa, beliau nampaknya akan berjaya," kata penganalisis politik dari Universiti Airlangga di Surabaya, Dede Oetomo.

Bagaimanapun, menurutnya, tinjauan terbaru menunjukkan populariti parti-parti politik berteraskan agama semakin goyah di Indonesia.

Sebuah parti aliran itu, Parti Keadilan Sejahtera (PDP) yang popular pada tahun 2004 dijangka hanya memenangi 4.9 peratus kerusi Parlimen berbanding lebih 7.3 peratus pada pilihan raya lalu.

"Selagi parti-parti ini cuba berkempen untuk melaksanakan undang-undang Islam, selagi itu mereka akan kehilangan sokongan, mereka perlu tema yang lebih meluas seperti membasmi kemiskinan," kata seorang ulama Islam, Syafiie Maarif.

Tinjauan terbaru Institut Bancian Indonesia meramalkan Parti Demokratik akan memenangi 26 peratus undi manakala saingannya, Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDIP) pimpinan bekas Presiden Megawati Sukarnoputri memperoleh 14 peratus diikuti Golkar dengan 13 peratus undi.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url