Bank Negara ambil alih Tahan Insurance
Ini susulan arah yang dikeluarkan Menteri Kewangan kepada bank pusat itu sejajar subseksyen 59(4)(a) Akta Insurans 1996, yang dibuat selepas syarikat insurans itu didapati tidak mematuhi keperluan modal yang ditetapkan dan tidak memenuhi pelan pengukuhan modalnya.
Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, tujuan utama arahan pengambilalihan itu adalah untuk melindungi kepentingan pemegang polisi Tahan Insurance.
Syarikat insurans am berlesen itu, katanya kini menguasai satu peratus daripada pasaran insurans am tempatan.
Bank pusat itu menegaskan, operasi perniagaan Tahan Insurance akan berjalan seperti biasa ketika tempoh pengambilalihan kawalan itu.
Katanya, berikutan pengambilali kawalan itu, Bank Negara melantik Pengarah Eksekutif PricewaterhouseCoopers Capital Sdn Bhd, Phoon Soon Keong sebagai wakil syarikat itu.
“Phoon akan mengawasi semua harta, perniagaan dan hal-ehwal Tahan Insurance untuk memastikan kegiatan perniagaannya lancar untuk menjaga kepentingan pemegang polisinya," katanya.
Phoon juga akan menilai penyelesaian dengan kos terendah bagi mendapatkan satu resolusi yang berkesan, kata bank pusat itu.
Maklumat lanjut hubungi Tahan Insurance di 03 - 26948000 atau menghubungi BNMTelelink (Pusat Panggilan Bank Negara) di talian 1-300-88-5465 antara jam 9 pagi- 5 petang, Isnin hingga Jumaat.