Jambatan baru Malaysia - Singapura dipersetujui

Malaysia dan Singapura bersetuju menjalankan kajian bagi pembinaan jambatan baru di timur Johor untuk mewujudkan laluan penghubung ketiga antara kedua-dua negara, bagi memudah dan meningkatkan lagi pergerakan rakyat serta kerjasama dua hala.

Pada masa sama, kedua-dua negara juga sependapat bahawa kemudahan laluan untuk kenderaan dan orang ramai yang sedia ada di Tambak Johor, perlu diperbaiki dan dipertingkatkan lagi demi kebaikan bersama pada masa depan.

Perkara itu diumum Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong pada sidang media bersama, selepas pertemuan empat mata mereka diikuti mesyuarat anggota delegasi kedua-dua negara, di sini, semalam.

Perdana Menteri berada di sini untuk lawatan rasmi dua hari berakhir semalam, dalam rangka lawatan sulungnya ke republik ini selepas mengambil alih jawatan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, bulan lalu.

Turut sama dalam rombongan Najib ialah isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Tan Sri Rastam Mohd Isa dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Md Hussin Nayan.

Najib berkata, dalam perbincangannya dengan Lee, beliau mencadangkan supaya Singapura melihat kemungkinan membina jambatan baru di sebelah timur Johor kerana kawasan itu kurang membangun, tetapi mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan.

“Kedua-dua kita bersetuju mengenai cadangan ini, kita tidak perlu tergesa-gesa... kita akan kaji,” katanya.

Lee pula berkata, Singapura bersetuju mengenai cadangan pembinaan jambatan baru oleh Najib itu dikaji dan sebuah jawatankuasa bersama membabitkan wakil kedua-dua negara akan menjalankan kajian lanjut mengenainya.

“Datuk Seri Najib mencadangkan jambatan baru dibina di sebelah timur Singapura... kerana Malaysia sedang membangunkan kawasan Pengerang dan Desaru yang boleh dihubung terus dengan Singapura merentasi Sungai Johor. Ini ialah langkah jangka sederhana dan panjang yang perlu diberi pertimbangan,” katanya.

Selain itu Najib berkata, Malaysia dan Singapura juga bersetuju supaya diwujudkan pelaburan atau projek mercu tanda di Iskandar Malaysia di Johor membabitkan pelaburan bersama untuk mewujudkan bandar atau pusat perubatan.

Kedua-dua negara bersetuju kerjasama keselamatan ditingkatkan dan berusaha menyelesaikan isu tertunggak dan Malaysia mahu kekerapan penerbangan kos murah kedua-dua negara ditambah, manakala Singapura mahu membuka konsulat di Johor Bahru.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url