Farouk Hussain tidak makan nasi tujuh tahun


Pengacara pelawak dan pelakon, Farouk Hussain tidak menyangka rancangan Warung Kita yang diacarakannya baru-baru ini telah menyebabkannya menjamah semula nasi selepas tujuh tahun dia tidak menikmati makanan ruji tersebut.

Menurut selebriti berusia 42 tahun ini, selama tempoh itu dia tidak makan nasi kerana mahu mengelakkan dirinya daripada mudah berasa mengantuk dan menggantikannya dengan makanan lain termasuklah roti.

"Saya memang sudah lama tidak makan nasi kerana masalah tersebut. Selama tujuh tahun itu juga, saya tidak terfikir untuk makan nasi. Bagaimanapun, rancangan Warung Kita telah merubah pendirian saya itu.

"Pada 17 Disember lalu iaitu ketika rakaman episod pertama Warung Kita, saya telah menjamah nasi buat kali pertama dalam masa tujuh tahun ketika penggambarannya diadakan di Restoran Kampung Pandan, Kuala Lumpur.

"Walaupun sudah mula makan nasi semula, tetapi saya tidak lagi rasa mengantuk dan badan saya pun tetap sama kurus macam dulu," katanya ketika ditemui bagi memperkatakan tentang Warung Kita baru-baru ini.

Warung Kita yang disiarkan melalui saluran 105 Astro Prima sebanyak 23 episod setiap Jumaat pukul 7.30 malam mulai 6 Februari lalu turut membuka peluang kepada Farouk untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

Malah, jelasnya rancangan dengan durasi 30 minit setiap episod itu turut membawanya menjelajah ke merata-rata tempat di seluruh negara bagi mengetengahkan bermacam-macam makanan yang unik, murah dan jarang disajikan kepada orang ramai.

"Antaranya hidangan telur belangkas yang disajikan di sebuah restoran di Kota Tinggi, Johor, yang turut dikunjungi oleh ramai orang kenamaan. Saya juga tidak terkecuali mencuba hidangan itu yang bukan sahaja unik tetapi juga enak dimakan.

"Selain itu, saya juga sempat mengunjungi sebuah warung cendul yang terkenal di Jalan Mantin, Seremban yang hanya mengenakan harga antara RM2 hingga RM3. Tetapi uniknya para pelanggan boleh menambah hidangan tanpa dikenakan bayaran," ujarnya.

Tambah Farouk, Warung Kita bukan setakat menyebabkan dia makan nasi semula, tetapi ia juga merupakan rancangan televisyen (TV) terbaru yang diacarakannya selepas hampir 10 tahun menyepikan diri daripada bidang tersebut.

Kata bapa kepada seorang anak perempuan berusia 11 tahun ini, beliau masih sukar melupakan bidang pengacaraan TV selepas dikenali ramai ketika mengacarakan rancangan Sinaran Passport Kegemilangan terbitan TV3 pada awal tahun 1990-an.

"Kali terakhir saya mengacarakan rancangan TV ialah menerusi rancangan Cabaran Teh Tarik F&N kira-kira 10 tahun lalu. Selepas itu saya lebih banyak menumpukan perhatian kepada bidang lakonan dan persembahan pentas," katanya.

Di samping Farouk, Warung Kita turut diacarakan oleh Azrul Zaidi yang merupakan naib juara pertandingan Raja Lawak musim kedua di mana gandingan mereka telah berjaya menambahkan lagi kepelbagaian rancangan tersebut.

Biarpun dilahirkan menerusi pertandingan berlawak, namun bekas penyampai radio Suria FM ini tidak menghadapi masalah untuk memberi komitmen serta mencurahkan bakatnya dalam rancangan yang berkonsepkan santai itu.

"Bidang pengacaraan ini bukanlah asing bagi saya. Saya mula terbabit dalam bidang seni sejak tahun 1994 sebagai pengacara majlis makan malam, penyampai radio Suria FM pada 2005 dan juga pernah menjadi pengurus Farouk 10 tahun lalu.

"Saya gunakan pengalaman itu dalam Warung Kita dan mengendalikannya bersama Farouk dalam gaya yang santai. Apatah lagi, rancangan ini tidak menyediakan skrip, jadi kami mengacarakannya secara spontan," ujarnya.

Rancangan yang diacarakannya itu bukan setakat memperkenalkan makanan-makanan yang unik dan mampu dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat, tetapi pada masa sama turut mempromosikan sesuatu tempat yang dilawati.

Tambah Azrul, Warung Kita mempertemukannya dengan Farouk dalam episod pertama dan 23 sahaja, manakala mereka mengacarakan setiap episod selain daripada itu secara bersendirian dengan gaya masing-masing.

"Farouk muncul dalam episod yang ganjil contohnya pada episod 3, 5, 7 dan seterusnya. Sementara itu, saya pula mengendalikan episod-episod genap. Apapun kami berdua mempunyai gaya penyampaian masing-masing.

"Malah, bahan paparan yang kami ketengahkan juga berbeza-beza termasuklah lokasi penggambaran pada setiap episod yang telah kami rakamkan. Bagaimanapun, kami juga mempunyai banyak persamaan dan keserasian apabila digandingkan dalam rancangan ini.

"Contohnya, hari lahir saya dan Farouk juga tidak jauh beza. Saya lahir pada 13 Februari dan hari lahir Farouk pula pada 12 Februari," kata selebriti berusia 35 tahun ini lagi.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url