Fokus: Tugasan berunsur plagiat

Oleh Khairina Yasin

Perbuatan memplagiat bagi menyiapkan tugasan diberikan pensyarah bukan perkara baru di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, malah ia dikatakan sudah lama dilakukan segelintir mahasiswa tidak bertanggungjawab.

Perkara negatif itu bukan saja membabitkan pelajar universiti tempatan, malah institusi pengajian terkemuka luar negara, biarpun ramai mengetahui perbuatan itu melanggar peraturan akademik sesebuah IPT.

Dalam hal berkaitan, anugerah ijazah sarjana kepada seorang pelajar sebuah universiti ternama tempatan dilaporkan pernah ditarik balik sebelum ini kerana melakukan plagiat dalam tesisnya.

Berikutan itu, tidak hairanlah jika ada pihak melabelkan plagiat sebagai ‘jenayah’ akademik dan turut menyamakannya dengan perbuatan merompak, yang membimbangkan ahli akademik sekiranya ia berterusan.

Mengulas mengenai isu itu, Koordinator Pusat Penerbitan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Zulkipli Abu Bakar, berkata plagiat didefinisikan sebagai perbuatan mencedok idea atau penulisan orang lain, kemudian menggunakannya sebagai karya sendiri.

Walaupun keadaannya tidak serius, beliau yang juga pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media mengakui plagiat tugasan berlaku di mana-mana IPT di negara ini dan kebanyakan universiti memandang berat terhadapnya.

Malah, katanya, di bawah Peraturan Akademik, wujud klausa menyebut plagiat sebagai salah satu perbuatan menyalahi etika akademik dan memerlukan tindakan tatatertib terhadap pelajar disabitkan kesalahan itu.

“Sejauh mana keupayaan peraturan ini membendung plagiat sukar dikenal pasti, justeru kita memerlukan satu penelitian bagi mencari puncanya dari peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata, kesuntukan masa atau kesibukan tugasan lain mendorong pelajar mengambil jalan mudah untuk menyiapkan tugasan diberikan pensyarah adalah antara faktor berlaku plagiat.

Zulkipli berkata, pelajar terbabit hanya ingin memastikan tugasan diberikan siap dan diserahkan kepada pensyarah tepat pada masanya.

“Selain itu, faktor sikap sesetengah pelajar tidak mahu berfikir panjang dan tiada kesungguhan atau kemahuan untuk memerah idea dan kreativiti turut menjurus kepada perbuatan ini.

“Malah ada juga pelajar yang menganggap ia remeh, selain bukan kesalahan. Pelajar seharusnya ingat, sama ada sedar atau tidak, melakukan plagiat adalah kesalahan serius dan jika disabitkan, tindakan wajar boleh diambil,” katanya.

Beliau berkata, plagiat biasanya dilakukan dengan menciplak idea atau penulisan daripada pelbagai sumber termasuk buku, majalah, jurnal dan internet yang kini menjadi medium utama dalam pembelajaran.

Katanya, tidak salah merujuk sesuatu sumber kerana dalam konteks pembelajaran di universiti, pelajar digalak berbuat demikian sebagai panduan bagi meningkatkan pemahaman dalam sesuatu bidang.

“Pendekatan yang betul, pelajar perlu membuat kesimpulan atau rumusan mengikut pemahaman sendiri, bukan menciplak karya atau penulisan orang lain sewenang-wenangnya,” katanya.

Menjelaskan bagaimana plagiat dapat dikesan pula, Zulkipli berkata, pensyarah biasanya mempunyai sensitiviti dan arif mengenai gaya bahasa atau penulisan pelajar masing-masing.

“Biasanya ada kecacatan atau kesalahan dilakukan pelajar dan sebagai pensyarah, pengalaman mereka dapat membantu mengesan sama ada berlaku plagiat atau tidak,” katanya.

Berkongsi pengalamannya menyelesaikan kes plagiat, Zulkipli berkata, langkah pertama ialah menyiasat mengenai keaslian karya pelajar terbabit.

Pada masa yang sama, katanya, pelajar turut diberi peluang mempertahankan diri masing-masing dan jika masih wujud keraguan atau pelajar mengaku kesalahannya, tindakan wajar akan diambil.

“Setiap tindakan diambil bukan bermaksud menghukum, sebaliknya mendidik pelajar terbabit. Tindakan pula bergantung kepada budi bicara pensyarah dan ia berbeza mengikut tahap keseriusan kesalahan dilakukan.

“Biasanya, peringatan atau amaran diberi sebagai tindakan pertama, selain meminta pelajar terbabit menyiapkan semula tugasan, jika tidak mengurangkan markahnya.

“Jika kes serius dan sukar ditangani di peringkat fakulti, ia akan dirujuk kepada pengurusan universiti bagi menentukan tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau yang bimbang perkara negatif itu berterusan berkata, kesannya bukan hanya pelajar, malah universiti dan negara selain tiada lagi penerokaan ilmu baru yang mampu menjana kecemerlangan pendidikan masa depan.

“Fungsi asas sesebuah universiti adalah sebagai tempat meneroka dan menjana ilmu. Jika ilmu itu dipertaruh atau digadaikan dengan perbuatan plagiat, di mana letaknya kredibiliti dan integriti pelajar atau universiti,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url