Galeri Seni Warisan Terengganu dirasmikan


Kerajaan negeri bercadang menjadikan Kampung Ladang, sebuah perkampungan tradisional di sini sebagai pusat atau hab hasil seni Terengganu terutama kraftangan, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata, kerajaan negeri sememangnya sudah lama menyimpan hasrat tersebut kerana kampung itu adalah pengeluar pelbagai barangan kraf sejak beratus tahun lalu.

Katanya, jika dilihat senario semasa, Kampung Ladang mencipta nama dengan beberapa tokoh seni terutama seni pembuatan tembaga yang mencipta nama di peringkat antarabangsa.

‘‘Nama seperti Manisma Kraf sinonim dengan kraf tembaga yang begitu unik dan bermutu tinggi.

‘‘Kita juga seharusnya bangga apabila melihat hasil seni Terengganu terpapar di seluruh negara,’’ katanya semasa berucap merasmikan Galeri Seni Warisan Terengganu di Kampung Ladang di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.

Pada majlis itu, Ahmad Razif menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menghasil dan mengkomersialkan produk penjagaan diri berasaskan minyak serai wangi.

YPU diwakili Pengurus Besarnya, Azmi Razif, LPP oleh pengerusinya, Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman manakala UTM pula Profesor Ramlan Ali.

Mengenai Galeri Seni Warisan Terengganu, Ahmad berkata, pembinaan di atas tapak Pasar Ladang lama memang wajar kerana ia memastikan pelbagai produk Terengganu tidak akan pupus.

Katanya, dengan kewujudan galeri ini, generasi muda yang merupakan pewaris seni warisan Terengganu dapat mengenali lebih lanjut seni tempatan sekali gus menarik minat mereka.

Tambah beliau, kerajaan menerusi YPU dan Terengganu Design Excellence (TIDE) akan terus berusaha mempromosikan galeri ini sehingga menjadi pusat hasil seni serta rujukan penghasilan negeri.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ahmad berkata, kerajaan negeri berhasrat meningkatkan sumbangan industri pelancongan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu kepada 12 peratus untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Katanya, sumbangan industri tersebut kepada KDNK pada masa ini hanya enam peratus.

‘‘Kepelbagaian kita ialah aset selain tempat dan destinasi yang indah dan menarik, produk ‘intrensic’ seperti keramahan rakyat, budaya, warisan senibina juga mempunyai tarikan tersendiri malah semua ini produk unik yang ada pada negeri kita,’’ katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url