Sabtu, Mei 23, 2009

Isu Pendidikan - Konsep Malaysia Boleh

Konsep Malaysia Boleh! merupakan satu rangangan semangat yang telah dicetuskan oleh Perdana Menteri Malaysia Keempat Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 1989.

Lebih daripada sekadar slogan, ia adalah laungan keyakinan dan pernyataan bahawa Malaysia mampu maencapai apa jua impian dalam semua bidang, termasuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

Kekuatan semangat yang lahir dari pernyataan ini telah menjadi pendorong tenaga kepada rakyat Malaysia sehingga mampu mengumpul pingat emas kedua terbanyak di kejohanan Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, menawan puncak Everest, mengelilingi dunia solo dengan perahu layar, berenang merentasi Selat Inggeris, membina bangunan tertinggi di dunia dan mencapai banyak lagi kejayaan di peringkat antarabangsa.

Jika dijejaki atau ditelusuri, begitu banyak kejayaan membanggakan dicapai dan dilakukan rakyat Malaysia dalam rentang masa 50 tahun kemerdekaan negara. Itulah juga sebabnya timbul slogan dan semangat ‘Malaysia Boleh’ pada setiap ketika.

Sekadar mengimbau beberapa kejayaan itu, kita cukup berbangga apabila Datuk Azhar Mansor pada tahun 1999 belayar secara solo menjelajah mengelilingi dunia dengan merentasi lautan sejauh 25,000 batu nautika.

Bukan sedikit rasa bangga berbunga di hati seluruh rakyat Malaysia ketika itu kerana ketabahan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh beliau. Malaysia turut berbangga kerana dengan kejayaan itu, ia bukan sahaja memberi jasa yang tidak ternilai kepada negara, tetapi juga telah menyuntik semangat kepada yang lain untuk berusaha mengangkat nama sendiri dan Malaysia di mata dunia.

Dan masihkah kita ingat kepada kecekalan dan semangat tinggi Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, wanita yang menjelajah secara solo ke Antartika, bumi ais pada tahun 2005. Kemudiannya beliau meneruskan pula misi atau Ekspedisi ke Kutub Utara setahun kemudian.

Kalau kita belum terlupa, lebih awal daripada itu, sekitar tahun 2003, kita juga berbangga dengan individu rakyat Malaysia bernama Abdul Malik Mydin. Abdul Malik menjadi lelaki Asia Tenggara pertama yang berjaya berenang merentasi Selat Inggeris dengan rekod digenggam ialah 17 jam 35 minit.

Setahun kemudian iaitu pada Julai 2004, Lennard Lee, pelajar perubatan di London, juga anak Malaysia, menyusuli kejayaan Abdul Malik. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti M.Magendran dan N. Mohandas memberi ukiran indah dalam sejarah Malaysia setelah berjaya menawan puncak Everest pada Mei 1997.

Kejayaan itu kemudiannya diulangi pula pada Mei 2004 oleh dua pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Muqharabin Mokhtaruddin dan Ahmad Reduan Rozali. Maka, kedua-dua mereka menjadi mahasiswa pertama di negara ini yang menawan puncak tertinggi di dunia tersebut.

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts