Kerabat Raja bazir wang rakyat
Jumlah itu tidak termasuk harga tiket kelas perniagaan, elaun, tempat tinggal dan bayaran kerja lebih masa untuk kedua-dua pegawai itu.
Senario sama turut dilakukan oleh kakak Eugenie, Puteri Beatrice, 20, kerana perlindungannya turut terpaksa ditanggung rakyat ketika beliau pergi melancong ke Argentina, Brazil, Sepanyol, Belgium, Switzerland, Los Angeles dan St Barts di Kepulauan Caribbean pada 2007.
Jurucakap kumpulan Republic, Graham Smith, mencemuh sikap kerabat Britain yang kerap membazir wang, terutama ketika rakyat bergelut menghadapi krisis ekonomi.
“Sikap mereka sungguh memalukan kerana wang rakyat yang boleh digunakan untuk keperluan lain dibazirkan begitu saja,” tegasnya.
Polis Scotland Yard yang membelanjakan RM159 juta untuk melindungi kerabat Britain percaya kos itu boleh dikurangkan kerana kawalan terhadap keluarga kerabat, termasuk Beatrice dan Eugenie, pada waktu tertentu boleh dilaksanakan pada tahap minimum.
Sepupu Eugenie, Zara dan Peter Phillips tidak langsung dilindungi polis. Begitu juga anak Putera Michael, Duke of Kent, Putera Frederick dan Puteri Gabriella Windsor.
Namun, Duke of York, Putera Andrew dan isteri, Sarah Ferguson menolak saranan polis Britain yang membuat usul itu pada 2005 kerana menganggap Beatrice dan Eugenie, waris kelima dan keenam takhta Britain, terlalu penting.
Bekas Ketua Pengawal Diraja, Dai Davies, menegaskan perlindungan sepanjang masa terhadap Beatrice dan Eugenie hanya membazir wang rakyat.
“Tindakan meletakkan seorang atau dua pengawal boleh dipersoal kerana mereka tidak mungkin mampu menghalang serangan penyerang yang ganas,” katanya.
Kata-katanya itu sangat bernas, terutama selepas kereta Beatrice yang ditemani pengawal dicuri di London, Januari lalu.
Wakil rakyat Parti Demokrat, Norman Baker, berkata kerabat ingin sentiasa diiring pengawal kerana menganggap ia satu simbol kebesaran.
“Itulah masalah utama hingga mereka enggan keluar tanpa diiringi pengawal,” katanya.
Wakil rakyat Parti Buruh, Jim Devine pula mendesak Duke of York membayar perlindungan anak perempuannya dengan wangnya sendiri, terutama ketika mereka keluar berfoya-foya atau bercuti.
“Pembayar cukai Britain tidak bertanggungjawab membayar perlindungan dua anggota junior kerabat Britain, terutama ketika keluar berfoya-foya di kelab malam Eropah,” tegasnya.
- AGENSI