Maybank Islamic sasar deposit RM4 bilion

Maybank Islamic, milik Kumpulan Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasarkan kutipan deposit berjumlah RM4 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2010, meningkat 20 peratus berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ibrahim Hassan berkata, daripada jumlah itu, RM2 bilion bakal diraih melalui pengenalan produk deposit terbarunya, Profit Now Account-i (PNA-i) dan Foreign Currency Mudharabah-i (FCM-i) yang dilancarkan hari ini.

Ibrahim berkata, bagi tempoh Disember tahun lalu sehingga Jun tahun ini, Maybank Islamic diunjur memperoleh deposit berjumlah RM1.5 bilion.

''Kami kini meraih lebih RM1 bilion dan yakin mampu mencapai RM1.5 bilion menjelang Jun ini,'' katanya pada sidang akhbar sempena pelancaran PNA-i dan FCM-i di Menara Maybank di sini hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan deposit Maybank Islamic kini bernilai RM19.5 bilion.

''Kita akan lebih agresif dalam memantapkan asas deposit sedia ada dan menjangka deposit akan menyokong pertumbuhan bank Islam ini dengan jangkaan kenaikan 16 peratus bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun ini,'' tambah beliau.

Meskipun baru beroperasi pada 1 Januari 2008, Maybank Islamic menguasai 23 peratus pasaran deposit dan memiliki 16 produk deposit yang membabitkan akaun simpanan, akaun semasa, deposit terma dan akaun mata wang asing.

Ditanya tentang produk PNA-i, Ibrahim berkata, ia adalah deposit berjangka berlandaskan konsep Murabahah yang memberi pulangan kepada pelanggan pada hari pertama wang didepositkan.

Katanya, produk berkenaan menggunakan komoditi tertentu berlandaskan Syariah sebagai aset.

Deposit minimum untuk membuka akaun ialah RM10,000 dengan tambahan mengikut gandaan RM1,000 dan tempoh pelaburan singkat sehingga enam bulan.

FCM-i pula adalah deposit Islam mata wang asing berasaskan Mudharabah dan dividennya berdasarkan kepada nisbah perkongsian pulangan tetap.

Ibrahim berkata, minimum deposit bagi pelanggan individu adalah bersamaan dengan AS$5,000 (RM17,750) dengan tempoh pegangan daripada satu hingga 12 bulan.

Manakala jumlah deposit bagi pelanggan perniagaan pula adalah bersamaan AS$20,000 (RM71,000) dengan tempoh pegangan satu hari bagi dolar Amerika, tujuh hari untuk euro, dolar Australia dan paun British, satu bulan untuk dolar New Zealand, dolar Hong Kong, dolar Kanada, dolar Singapura, franc Swiss dan yen Jepun.

''Kami memperkenalkan FCM-i di bawah Unit Perniagaan Matawang Antarabangsa kerana ia adalah segmen yang sedang berkembang, sejajar dengan peluang dan insentif yang ditawarkan oleh kerajaan,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url