Komentar - Sistem pendidikan patut diubah hadapi model baru ekonomi
Memang sepatutnya negara sudah lama bergerak ke arah itu selepas dasar ekonomi negara yang berasaskan pertanian ditukar kepada berasaskan industri, pembuatan dan perkhidmatan pada zaman kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kepemimpinan negara dan mengambil kira kedudukan ekonomi ketika itu yang baru pulih daripada kesan krisis kewangan Asia, beliau memberi tumpuan kepada industri berasaskan pertanian dan bioteknologi.
Justeru, matlamat model baru ekonomi yang diumumkan Najib itu adalah langkah memperkasa atau penambahbaikan dasar ekonomi yang dipelopori dua perdana menteri terdahulu dengan matlamat utama, menjadikan inovasi dan produktiviti pekerja sebagai sumber utama menjana ekonomi negara.
Selepas 30 tahun terbabit dalam bidang perindustrian, memang sudah sampai masanya kita berubah daripada hanya memasang peralatan import yang kemudian dieksport semula, kepada pembangunan dan penyelidikan (R&D) melalui inovasi dan kreativiti pekerja. Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun sudah lama menggunakan pendekatan ini yang bukan saja menjadikan mereka pengeluar teknologi untuk pasaran dunia, malah meningkatkan taraf hidup rakyat mereka.
Industri di negara maju amat menekankan pengurusan terbaik, produktiviti dan inovasi kerana melaluinya mereka dapat menghasilkan barang atau perkhidmatan terbaik yang akhirnya menguntungkan syarikat, pekerja dan negara. Atas alasan peningkatan produktiviti, kreativiti dan inovasi, pekerja di negara terbabit menerima upah tinggi.
Malah ketika ekonomi dunia meleset sekarang, syarikat gergasi di Jepun, Korea Selatan, Jerman dan Amerika Syarikat terus menumpukan perhatian kepada bidang R&D kerana bagi mereka kesempitan yang berlaku sekarang memberi semangat dan dorongan untuk menghasilkan ciptaan terbaru.
Walaupun usaha ini bukan sesuatu yang mudah, kita percaya pakar ekonomi tempatan dan luar negara dalam Majlis Ekonomi Negara yang bakal ditubuhkan nanti mengambil kira semua aspek supaya model baru ekonomi itu dapat dilaksanakan secara praktikal, bukannya di atas kertas dasar.
Kita juga yakin mereka juga memberi perhatian kepada sistem pendidikan sekarang kerana kesan sistem itu memainkan faktor penting dalam menentukan kejayaan model baru ekonomi nanti. Ia penting kerana modal insan dihasilkan menerusi sistem pendidikan bukan saja perlu kreatif, malah inovatif dan bersikap terbuka. Kita harus akui produk pendidikan yang kita hasilkan selama ini, hanya boleh menjadikan mereka pekerja yang baik, tetapi belum mampu bersaing untuk menghasilkan produk setanding dengan keluaran negara maju.
Mereka dididik menjadi operator yang baik, bukan sebagai inovator. Justeru, sistem pendidikan sekarang perlu diubah untuk disesuaikan dengan model baru ekonomi yang bakal dilaksanakan nanti.