Masih ada ruang bincang subjek teras SPM - Muhyiddin
Bagaimanapun, kata Timbalan Perdana Menteri, kementerian masih membuka ruang perbincangan dengan pelbagai pihak berhubung perkara berkenaan terutama membabitkan penentuan mata pelajaran teras dan elektif yang bakal diambil pelajar SPM untuk semua aliran pendidikan.
Katanya, individu atau parti politik dialu-alukan untuk mengemukakan cadangan dan pandangan mereka dan kementerian bersedia mendengarnya.
"Kita tidak akan menutup ruang perbincangan, malah jika MCA dan MIC ada cadangan, mereka boleh kemukakan," katanya mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar mengenai kekangan mengambil mata pelajaran elektif berikutan keputusan mengehadkan maksimum 10 mata pelajaran yang boleh di ambil calon SPM.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata ketika ini, Kementerian Pelajaran sedang meneliti bilangan subjek teras dan elektif yang boleh diambil pelajar mengikut semua aliran pendidikan.
"Dengan keputusan mengehadkan jumlah subjek untuk SPM, kementerian bukan hanya melihat kepada penawaran mata pelajaran saja tetapi mengambil kira penstrukturan semula SPM dan sistem penggredan peperiksaan berkenaan," katanya selepas merasmikan Hari Karnival Victoria Institution di sekolah itu, semalam.
Mengulas lanjut, katanya kementerian tidak ada masalah untuk penstrukturan semula SPM kerana mengikut rekod, sebanyak 10 peratus saja daripada jumlah keseluruhan calon SPM yang mengambil lebih daripada 10 mata pelajaran.
Sementara itu, mengulas mengenai penentuan pelajar yang layak mendapat biasiswa dengan langkah mengehadkan subjek SPM, katanya kementerian sedang mengkaji sistem penggredan peperiksaan itu untuk memudahkan penilaian dalam penawaran biasiswa.
"Perubahan sistem penggredan ini penting supaya jika dapat A, kita mahu tentukan sama ada gred itu A, A+ atau A-. Begitu juga jika B, sama ada B, B+ atau B-. Ini supaya dalam soal mendapat biasiswa, pelajar dinilai berdasarkan bilangan subjek diambil dan gred diperoleh," katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa penawaran biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telus dengan penggredan baru berkenaan.
"Proses pemberian biasiswa oleh JPA yang ada sudah telus tetapi masih ramai yang tidak faham cara jabatan itu membuat keputusan. Keputusan JPA itu kini mendapat kelulusan Kabinet. Kementerian saya dan JPA sedang meneliti beberapa perkara berikutan perancangan mengenai biasiswa JPA untuk masa akan datang. Saya juga dipertanggungjawabkan melihat perubahan jumlah penerima biasiswa akibat langkah penetapan 10 mata pelajaran boleh diambil calon SPM," katanya.
- BERITA HARIAN
memang pun kita tak faham cara jabatan membuat keputusan...telus tapi kabur. tapi saya setuju sangat2 dengan perubahan penggredan...nak pastikan pelajar berkualiti.