Memecah politik dinasti di Jepun

Kekurangan pemimpin berbakat di Jepun menjadi sebab kepada penubuhan Institut Pentadbiran & Pengurusan Matsushita.

Di dalam sebuah bilik kecil yang dipenuhi haruman setanggi, tujuh lelaki muda Jepun sedang bermeditasi sambil menghadapkan muka ke dinding. Keadaan ketika itu senyap dan sunyi. Hanya kedengaran kicauan burung-burung di luar bilik.

Meditasi merupakan sebahagian daripada latihan di sebuah institut yang mempersiapkan pemimpin politik di Jepun. Ini berikutan ramai mengatakan barisan pemimpin politik yang kurang popular dan tidak efektif telah menjejaskan negara dalam kemelesetan ekonomi paling teruk sejak Perang Dunia Kedua.

Pakar mengatakan Jepun perlu memikat dan menarik lebih banyak pemimpin berbakat menyertai politik. Lantaran itulah, lahirnya Institut Pentadbiran & Pengurusan Matsushita yang bertujuan melatih, memimpin dan melahirkan pemimpin yang hebat.

Pada masa yang sama, seruan agar menghentikan politik warisan iaitu serahan kuasa daripada satu generasi ke generasi yang lain semakin kuat.

Tradisi itu menyebabkan negara tidak berpeluang melahirkan pemimpin yang berpotensi kerana semuanya memerlukan pertalian atau hubungan keluarga.

Diasaskan pada tahun 1979 oleh mendiang Konosuke Matsushita, yang menubuhkan firma elektronik yang kini disebut Panasonic, Institut Matsushita di Chigasaki, berhampiran Tokyo telah melatih lebih daripada 200 orang pelajar.

Hampir 70 daripada alumninya merupakan ahli politik termasuk dua yang pernah bertugas sebagai menteri Kabinet dan seorang yang menjadi pemimpin parti pembangkang buat seketika.

Kebanyakan pelajarnya juga meletak jawatan mereka untuk memenangi pilihan raya di peringkat nasional atau pun tempatan.

Mereka berhadapan dengan persaingan daripada ramai calon dinasti politik yang merupakan anak atau menantu dalam sesebuah keluarga berpengaruh apabila pilihan raya diadakan.

Calon-calon seperti itu mendapat liputan meluas berbanding calon yang tidak mempunyai pertalian dengan keluarga berpengaruh. Mereka mewarisi kumpulan sokongan keluarga, dikenali dan mempunyai akses terhadap dana kempen pilihan raya.

Sesetengah penganalisis politik berkata, tradisi dinasti menjadi faktor utama yang menyebabkan Jepun kekurangan pemimpin berwibawa.

Hampir 40 peratus daripada penggubal undang-undang dalam Parti Demokratik Liberal (LDP) datang daripada keluarga berkenaan, manakala daripada jumlah itu, lebih 20 peratus adalah ahli Parlimen dalam parti lawan utama, Parti Demokratik di Jepun.

"Jumlah yang besar dalam kalangan penggubal undang-undang keturunan bermakna ahli politik hanya lahir daripada kelompok golongan manusia yang terhad," kata Koichi Nakano, seorang profesor dalam bidang Sains Politik di Universiti Sophia di Tokyo.

Salah satu tanda yang membuktikan betapa kukuhnya sistem itu adalah bekas Perdana Menteri, Junichiro Koizumi yang merancang untuk menyerahkan tanggungjawab parti LDP kepada anak lelakinya yang berusia 28 tahun apabila dia bersara pada tahun ini, meskipun beliau menjadi salah seorang pemimpin reformis paling popular di Jepun dalam masa satu dekad.

Pihak yang mempertahankan tradisi itu mengatakan ia mempunyai kelebihan tersendiri.

Dalam teori, ahli politik seperti itu boleh mengurangkan masa bagi meningkatkan dana kempen dan fokus terhadap polisi.

Namun, pengundi akan menjadi kecewa dengan trend tersebut terutamanya selepas dikecewakan Perdana Menteri yang didakwa hanya mempunyai kelulusan politik terbaik di atas kertas.

Cucu kepada bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe telah dilantik memegang kuasa pada tahun 2006 tetapi meletak jawatan hanya setahun selepas pelantikan tersebut.

Penggantinya, Yasuo Fukuda, anak kepada bekas pemimpin pula, meletak jawatan tidak sampai setahun selepas menerima tanggungjawab itu.

Di Institut Matsushita, kebanyakan pelajarnya tidak mempunyai kelulusan politik. Mereka dilatih untuk menjadi seorang yang berguna dengan menghabiskan masa selama tiga tahun dalam program dan memilih topik yang digemari dengan sedikit panduan daripada pentadbiran institut itu.

Dengan hanya lima atau enam pelajar diterima masuk pada setiap tahun, mereka merupakan kumpulan pelajar yang hidup di kampus sepanjang program itu dijalankan.

Mereka akan bangun seawal pukul 6 pagi, bersenam dan berjoging di sekitar kawasan pantai yang berdekatan.

Dalam refleksi terhadap bagaimana dominasi politik di Jepun, hanya 13 peratus daripada alumni adalah perempuan, manakala hanya seorang daripada 16 pelajar baru terdiri daripada golongan Hawa.

"Di dalam silibus pembelajaran, anda akan dipaksa berfikir mengenai bagaimana anda boleh menyumbang sesuatu kepada komuniti, bagaimana mengubah masyarakat dan sebagainya.

"Melaluinya, anda akan belajar bercakap dengan fikiran," ujar Hironori Sato, seorang alumni dalam satu temu bual. Beliau kini merupakan salah seorang ahli dalam perhimpunan metropolitan Tokyo.

- REUTERS
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url