Pendidikan selepas SPM

Semua lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya sudah mengetahui keputusan masing-masing bagi mengikuti pengajian program lepasan SPM sesi 2009/2010 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara, yang akan bermula 28 Jun depan, manakala program matrikulasi 11 Mei ini.

Tahun ini jumlah permohonan yang diterima Kementerian Pengajian Tinggi meningkat kepada 400,996 untuk mengisi 128,295 tempat di 20 IPTA, politeknik dan kolej komuniti. Permohonan itu merangkumi program ijazah sarjana muda, diploma dan sijil.

Bilangan tempat yang terhad dan jauh lebih kecil berbanding jumlah permohonan yang terus bertambah, sudah tentu tidak dapat menampung semua pelajar yang memohon, walaupun mereka memenuhi syarat kelayakan. Itulah senario yang berlaku setiap kali Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan pengambilan pelajar baru ke IPTA.

Bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya terdapat lulusan SPM yang memperoleh 6A hingga 8A turut tercicir daripada senarai calon yang terpilih ke IPTA kerana ia pernah terjadi sehingga mencetuskan isu yang memerlukan penjelasan daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Satu daripada sebab yang lazim diberikan kementerian ialah pelajar tersalah pilih kursus yang bersesuaian dengan kelayakan mereka. Agak malang bagi pelajar berkenaan dan jika itu berlaku kita menasihatkan mereka jangan cepat kecewa dan berlengah sebaik-baiknya kemukakan rayuan dengan segera.

IPTA adalah pilihan utama pelajar untuk melanjutkan pengajian. Alasannya mudah, selain kerana mempunyai kemudahan pembelajaran yang lengkap dan berkualiti, yuran pengajian juga jauh lebih rendah berbanding di kolej swasta dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Masalah kekurangan tempat di IPTA sedikit sebanyak dapat ditangani apabila kerajaan menaikkan taraf empat kolej universiti kepada universiti penuh dan wujud beberapa universiti baru, menjadikan jumlah IPTA sekarang kepada 20. Malangnya terdapat segelintir pelajar yang bersikap negatif terhadap beberapa universiti baru yang dinaikkan taraf sehingga ada yang menolak tawaran universiti berkenaan, walaupun mereka ditawarkan jurusan yang memang menjadi pilihan mereka.

Apatah lagi apabila mereka mengetahui universiti baru itu hanya dianugerahi dua bintang apabila kementerian membuat penarafan IPTA di negara ini tahun lalu, berbanding kedudukan yang lebih baik di kalangan universiti yang telah lama wujud. Keadaan itu ditambah pula dengan suasana kampus yang masih dalam pembinaan. Dengan kata lain, ada segelintir pelajar berkenaan memandang rendah dengan keupayaan universiti baru itu.

Tanggapan itu adalah salah dan tidak harus berlaku kerana setiap universiti di negara ini mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing. Malahan universiti berusia ‘muda’ itu mempunyai kelebihan berbanding universiti lain kerana bidang pengajian yang ditawarkan lebih khusus dan mudah disesuaikan dengan keperluan industri. Universiti itu juga kini mula menonjol dalam beberapa bidang termasuk memenangi beberapa anugerah penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Hakikatnya, apabila seseorang graduan tamat pengajian, apa yang menjadi penilaian majikan serta industri adalah kecemerlangan akademik dan kemahiran yang dimiliki bukannya terletak pada gahnya nama sesebuah IPTA atau dari dari mana graduan itu dilahirkan.

Kewujudan kira-kira 500 kolej swasta dan IPTS di seluruh negara turut membuka peluang dan memberi alternatif kepada lulusan SPM untuk melanjutkan pengajian. Dalam suasana ekonomi yang perlahan tahun ini, kesan daripada kegawatan ekonomi global, kolej dan IPTS meningkatkan usaha dalam membuat tawaran kepada pelajar melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan.

Pasaran kerja yang semakin menguncup, menjadikan permintaan pelajar untuk menyambung pengajian meningkat. Untuk menarik minat pelajar, setiap IPTS berlumba-lumba dan bersaing menawarkan kursus yang dijalankan dengan kerjasama IPTA untuk memberi nilai tambah kepada ijazah yang bakal diperoleh pelajar.

Namun begitu, pelajar harus berhati-hati kerana memang wujud sesetengah IPTS yang menawarkan kursus tidak diiktiraf kerajaan. Sesetengahnya pula tidak mempunyai kemudahan lengkap sepertimana yang digembar-gemburkan dalam iklan menerusi media. Ada juga yang gagal menjaga kebajikan pelajar sepertimana yang dijanjikan termasuk menyediakan pembiayaan, perpustakaan serta asrama yang selesa.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url