Pertandingan tiga penjuru jawatan Presiden Indonesia

Pilihan Raya Presiden Republik Indonesia bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu penyandang, Susilo Bambang Yudhoyono akan ditentang oleh Jusuf Kalla dan Megawati Soekarnoputri.

Pilihan raya yang akan berjalan pada 8 Julai itu turut menyaksikan Boediono yang baru meletakkan jawatan sebagai Gabenor Bank Indonesia dipilih oleh Susilo menjadi pasangan untuk bertanding jawatan naib presiden.

Jusuf Kalla pula memilih Wiranto, manakala Megawati memilih Prabowo Subianto.

Susilo ketika membuat pengumuman malam semalam di Bandung berkata, dia memilih Boediono kerana memerlukan kepakarannya dalam menangani krisis ekonomi semasa.

Selain itu kata Susilo, Boediono juga seorang yang cekap, rajin dan amanah dalam menjalankan tugas tanpa mempunyai cita-cita politik serta konflik kepentingan peribadi lain.

Pada pengumuman itu, Susilo yang juga Ketua Dewan Pembina Parti Demokrat menyatakan penggal 2009-2014 merupakan penggal terakhir beliau menjadi Presiden Republik Indonesia.

Pakatan Susilo mendapat sokongan daripada 21 parti termasuk Parti Keadilan Sejahtera dan Parti Amanat Nasional, walaupun sebelum ini parti-parti berkenaan mengecam tindakan Susilo memilih Boediono yang tidak mewakili mana-mana parti komponen.

Sementara itu, Megawati yang juga bekas presiden Indonesia turut membuat pengumuman pencalonan beliau untuk jawatan presiden iaitu cubaan kali kedua selepas tewas kepada Susilo pada Pilihan Raya Presiden 2004.

Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan itu memilih Prabowo Subianto iaitu Ketua Dewan Pembina Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang juga bekas pegawai kanan angkatan tentera Indonesia untuk bertanding jawatan naib presiden.

Jusuf Kalla yang merupakan Naib Presiden Republik Indonesia yang juga Ketua Umum Parti Golongan Karya (Golkar) terlebih dahulu mengumumkan menentang Susilo.

Jusuf Kalla memilih Ketua Dewan Pembina Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Wiranto yang juga bekas panglima angkatan tentera Indonesia bagi menyertai pakatannya untuk merebut jawatan naib presiden.

Wiranto tewas pada pilihan raya 2004 setelah bertanding jawatan presiden di atas tiket Golkar dan pada 2006 beliau menubuhkan Hanura.

Pusingan pertama pilihan raya presiden akan berlangsung pada 8 Julai dan jika tiada parti yang memperolehi 50 peratus undi, pusingan kedua pilihan raya akan diadakan pada awal September.

Keputusan pilihan raya presiden hanya akan diketahui pada 21 Oktober.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url