WHO: Laporan jangkitan H1N1 terus meningkat
Sementara itu, Jepun hari ini melaporkan kes jangkitan domestik pertama manakala Turki dan India menjadi negara terbaru disahkan dijangkiti virus influenza A(H1N1) ini.
Pemangku Penolong Ketua Pengarah WHO, Keiji Fukuda memberitahu wartawan, kajian menunjukkan bilangan besar manusia telah dijangkiti tetapi masih belum dikesan atau disahkan oleh pemeriksaan makmal.
"Kajian turut menunjukkan virus berkenaan boleh merebak dan kami menjangkakan penularan akan berterusan di peringkat komuniti dan rantau," katanya dalam mesyuarat persediaan pandemik WHO di Geneva.
Menurut komen Fukuda, Kementerian Kesihatan Jepun hari ini mengesahkan kes jangkitan domestik pertama selesema babi selepas pelajar sekolah menengah yang tidak membuat perjalanan ke luar negara positif dijangkiti virus berkenaan.
Data terkini yang dikeluarkan oleh WHO menunjukkan seramai 7,520 orang dari 34 negara disahkan dijangkiti virus influenza A (H1N1) iaitu peningkatan sebanyak 1,000 kes berbanding Khamis lalu.
Menurut data, kebanyakan mereka yang terkorban adalah rakyat Mexico dengan jumlah kematian meningkat dua orang lagi menjadi 66 orang dan 2,829 kes jangkitan sehingga semalam di negara itu.
Pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) turut meningkatkan jumlah kematian di negara itu daripada tiga kepada lima ekoran kematian mangsa masing-masing di Arizona dan Texas.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) melaporkan, jumlah yang disahkan dan kemungkinan kes meningkat ke 4,714 kes dengan hanya merebak ke empat buah negeri iaitu Alaska, Mississippi, West Virginia dan Wyoming.
Bagaimanapun, pegawai AS semalam meredakan nasihat perjalanan ke Mexico, tiga minggu selepas memberi amaran menghalang perjalanan ke negara itu yang merupakan pusat penyebaran wabak.
Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan berkata, virus berkenaan dengan cepat menunjukkan keupayaannya merebak dengan mudah dari seorang kepada seseorang, secara meluas di negara yang dijangkiti dan dengan cepat merebak ke negara lain.
"Ketidakpastian berkenaan wabak ini sangat besar buat masa ini, memberi tekanan kepada kerajaan-kerajaan, kementerian-kementerian kesihatan dan WHO," katanya.
- AFP