Proton terima 9,100 tempahan Exora
Sejumlah 9,100 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora ditempah sejak dilancarkan pada 15 April lalu, kata Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Beliau berkata, sebanyak 2,000 buah Exora telah dikeluarkan dari kilang pembuatan Proton.
Katanya, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 3,000 buah Proton Exora pada bulan ini.
"Kami mendapati tempahan Proton Exora semakin meningkat dan kami menetapkan tempoh menunggu dalam lingkungan dua hingga tiga bulan,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian peniaga utama di antara Proton Edar Sdn. Bhd. (Proton Edar) dan Edaran Otomobil Nasional Bhd. (EON).
Proton Exora, kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Proton dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu negara pada 15 April lalu.
Proton Exora yang menggunakan enjin 1.6 Campro CPS dengan 125 kuasa kuda, dijual pada harga RM69,998 hingga RM75,998 sebuah.
MPV itu didatangkan dalam transmisi automatik empat kelajuan atau manual lima kelajuan.
MPV itu ditawarkan dalam enam warna pilihan dan dua varian iaitu Exora Hi-Line 1.6 Automatik Metallic (RM75,998) dan Exora M-Line 1.6 Automatik Metallic (RM69,998).
Sementara itu, Syed Zainal Abidin menambah, Proton berkeyakinan dan kini berada pada landasan yang betul untuk memasarkan produk barunya itu di Indonesia pada Julai ini.
"Proton Exora dijangka mendapat permintaan yang tinggi di Indonesia setelah menerima sambutan yang amat baik dari kalangan rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berkeluarga,'' ujarnya.
Ketika ditanya mengenai usaha penggabungan Proton dengan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Syed Zainal Abidin memberitahu, ia sekadar cakap-cakap kosong sahaja.
Katanya, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan sekiranya penggabungan itu memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
"Setakat ini, tidak ada rancangan penggabungan antara Proton dan Perodua, sebaliknya kedua-dua syarikat ini akan bersaing antara satu sama lain selain setanding dengan pengeluar kereta import yang lain,'' jelasnya.
- UTUSAN