Roselle jadikan awet muda

Tahukah anda bahawa produk minuman atau makanan berasaskan roselle antara lain didapati berkhasiat sebagai bahan antipenuaan atau menjadikan awet muda kepada penggemarnya.

Justeru tanaman secara komersial roselle kini diperluaskan di seluruh negara kerana produk berasaskannya semakin mendapat sambutan di pasaran dalam dan luar negara.

Koperasi Tani (Koptani) Lembah Bidong Terengganu Berhad di sini adalah sebagai pembekal utama produk roselle di negeri ini sekali gus dapat membantu petani Projek Pemulihan Rakyat Termiskin (PPRT) di Rhu Tapai di sini menambah pendapatan.

Sebelum ini, penanaman roselle yang merupakan punca pendapatan sampingan bagi para petani di kawasan itu terpaksa dihentikan selama empat tahun akibat beberapa masalah yang menyebabkan kilang memproses roselle ditutup.

Bagaimanapun, apabila Koptani itu ditubuhkan awal April 2007 dengan modal berbayar RM100,000, ia dilihat dapat merealisasikan hasrat untuk membantu golongan pendapatan rendah.

Ia juga membantu membangunkan semula tanaman roselle yang kini jarang diusahakan oleh para petani lain.

Melalui Koptani itu, seramai 30 petani PPRT di Rhu Sepuluh yang mengusahakan tanaman roselle itu untuk dijual sebagai bahan mentah kepada kilang milik koperasi berkenaan.

Pengerusi Koptani Lembah Bidong Terengganu Berhad, Abdul Malik Muda berkata, sebelum penubuhan koperasi itu, pihaknya membuat kajian mendapati produk roselle yang dibuat kordial, jus, jem, sos dan halwa mendapat pasaran yang memuaskan dalam kalangan pengguna.

Menurutnya, pokok roselle yang berasal dari Afrika Barat mengandungi pelbagai khasiat seperti mengurangkan tekanan darah tinggi, merendahkan suhu badan dan mengawal pertumbuhan barah.

Katanya, khasiat lain ialah antipenuaan atau awet muda, pencegahan penyakit kadiovaskular, deman panas dan resdung.

''Kami juga sentiasa bekerjasama serta mendapat bimbingan daripada pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dan beberapa agensi pertanian seperti Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

''Sekarang dengan berkat kerjasama serta sokongan ahli-ahli Koptani ini, kita mampu mengeluarkan lebih 30,000 unit pelbagai barangan dalam masa sebulan daripada hasil roselle itu," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Malik memberitahu, daripada 30,000 unit barangan tersebut termasuk 15,000 unit/cawan jus roselle dibekalkan kepada tiga buah koperasi di sekolah menengah di negeri ini.

Menurut beliau, pihaknya menjadi pembekal tetap kepada tiga buah sekolah menengah setiap bulan dan minuman jus roselle dijual dengan harga RM1.

Sementara itu, selebihnya barangan produk tanaman itu dijual di pasaran tempatan khususnya di negeri ini dan ada kalangan mereka datang sendiri membeli di kilang itu.

''Setakat ini, sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan di kalangan pengguna selain kami mendapat tempahan jus roselle dari beberapa buah sekolah lain di negeri ini.

''Tetapi Koptani terpaksa menolak tawaran itu kerana kami tidak mampu membekalkan minuman itu kepada mereka disebabkan kilang kami masih lagi menggunakan mesin yang hanya mampu mengeluarkan 5,000 unit sehari," ujarnya.

Abdul Malik berkata, dengan kemudahan yang sedia ada serta peralatan mesin yang tidak mencukupi menyebabkan juga koperasi itu hanya dapat memasarkan barangan mereka di pasaran tempatan sahaja.

Beliau memberitahu, untuk pasaran ke negeri lain seperti Kuala Lumpur, Johor, Pahang dan Selangor, pihaknya akan memastikan sekurang-kurangnya kilang itu dapat memproses barangan tersebut 5,000 unit sehari.

''Tetapi disebabkan kekurangan modal, mesin dan peralatan menyebabkan usaha koperasi ini untuk memasarkan barangan roselle secara meluas sama ada dalam negeri dan luar negara beliau tercapai," katanya.

Dengan masalah itu, ujarnya, Koptani yang mempunyai keahlian 100 orang itu sentiasa mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat supaya koperasi yang menjadi pemangkin kepada para petani di kawasan itu berdaya maju.

Sekiranya kerajaan menyumbang bantuan yang diperlukan itu menjadikan ia setanding dengan produk minuman serta makanan lain di negara ini selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak ahli koperasi di situ.

''Hasil tanaman roselle mempunyai pelbagai manfaat yang tersendiri dan ada juga barangan keluaran itu seperti Kordial Organik tanpa bahan pengawet yang pasti mendapat sambutan yang memuaskan para pengguna," kata Abdul Malik.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url