Sri Lanka umum kemenangan ke atas LTTE
Presiden Mahinda Rajapaksa mengumumkan kemenangan tentera kerajaan terhadap gerila pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dalam perang selama suku abad.
LTTE juga mengakui kekalahannya hari ini selepas 37 tahun memberontak bagi menubuhkan negara Tamil di Sri Lanka, dengan baki anggotanya masih terkepung dalam zon perang.
“Pertempuran ini telah tiba ke penamatnya. Kami masih mempunyai pilihan terakhir iaitu mengenepikan alasan lemah terakhir yang mengatakan musuh membunuh orang- orang kami. Kami memutuskan untuk tidak lagi bertempur.
“Apa yang disesalkan ialah kehilangan nyawa yang berlaku yang gagal kami pertahankan,” kata ketua hubungan antarabangsa LTTE, Selvarasa Pathmanathan dalam kenyataan di laman web propemberontak, Tamilnet.
Pengumuman LTTE itu dibuat selepas Kementerian Pertahanan menyatakan kesemua 50,000 baki orang awam yang terkepung dalam zon perang di utara Sri Lanka telah berjaya dibawa keluar hari ini.
Sementara itu, satu mayat yang dipercayai sebagai ketua LTTE, Vellupillai Prabhakaran telah ditemui oleh pihak tentera namun identitinya masih belum disahkan.
Empat sumber tentera yang lain mengesahkan penemuan tersebut dan menyatakan pemeriksaan identiti akan dibuat dengan segera namun jurucakap tentera, Brigadier Udaya Nanayakkara menafikannya.
Pasukan askar hari ini turut membunuh sekurang-kurangnya 70 anggota LTTE yang cuba meloloskan diri dari kawasan hutan yang dikepung tentera kerajaan dengan merentasi lagun menggunakan enam buah bot.
“Mereka sebenarnya telah dikalahkan tidak lama dulu, namun mereka secara rasminya mengaku kalah sekarang.
“Mereka memperjuangkan Eelam (negara berasingan) yang tidak akan membuahkan hasil. Ia hanya mengorbankan nyawa. Mereka telah menyebabkan kematian beramai-ramai dan kemusnahan selama ini. Akhirnya mereka mengakui semuanya sudah berakhir,” kata Nanayakkara.
Ribuan penduduk meraikan kejayaan tentera kerajaan hari ini dengan menari dan membakar mercun di jalan-jalan raya Colombo, selepas Presiden Rajapaksa mengumumkan kemenangan.
- AGENSI