1Malaysia tetap bertunjangkan Perlembagaan
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa konsep itu yang memberi penekanan terhadap mengutamakan kehendak rakyat akan terus memperkasa setiap perkara tersurat dan tersirat yang terkandung di dalam Perlembagaan.
Katanya, jaminan itu diberikan sewaktu beliau dan 20 anggota Perkasa melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri di sini, semalam.
"Jadi nampaknya Alhamdulillah keadaan makin jelas, sedikit sebanyak kekeliruan yang ditokok tambah dalam macam-macam polemik, hari ini seperkara kita senang hati dengan penegasan semula Perdana Menteri mengenai konsep 1Malaysia bahawa tetap bertunjang kepada asas Perlembagaan Persekutuan dan ia bukan konsep Malaysian Malaysia," katanya pada sidang media selepas kunjungan hormat itu.
Ibrahim berkata, Perdana Menteri turut menjelaskan dasar liberalisasi dalam ekonomi dan memberitahu kepentingan Malaysia bersaing dalam mengejar kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) kerana ia semakin menguncup kepada 60 peratus dengan keadaan ekonomi sekarang serta mengingatkan sekiranya tidak bersaing secara sihat, negara ini akan ketinggalan.
"Dalam aspek liberalisasi ini, memang ada yang tidak diceburi kaum Bumiputera. Oleh itu timbul banyak kekeliruan berhubung persepsi ketika membuat kenyataan secara umum di mana bila sebut liberalisasi, habislah Bumiputera, sebut 1Malaysia habislah kepentingan Melayu.
"Tidak begitu sebenarnya tapi aspek tertentu seperti kaum Bumiputera diberi perhatian, malah saya cukup teruja bila Perdana Menteri bercakap mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sekarang ini sebuah institusi melatih orang Melayu, bukan saja mensasarkan 100,000 pelajar tapi mahukan 200,000 pelajar bagi menambah golongan profesional Bumiputera," katanya sambil memuji langkah kerajaan menyuntik dana sebanyak RM550 juta untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Mengenai sama ada beliau sudah membuat pendirian untuk mewakili mana-mana parti politik, Ibrahim berkata, beliau belum membuat sebarang pendirian walaupun mendapat mandat daripada penyokongnya untuk menentukan hala tujunya dalam politik.
- BERITA HARIAN