5 mangsa nahas pesawat Air France 447 ditemui


Tiga lagi mayat ditemui di lokasi dipercayai tempat nahas pesawat Air France 447 seminggu lalu menjadikan lima mangsa kesemuanya, kata pihak berkuasa Brazil, semalam.

Juruterbang pesawat yang melakukan operasi mencari dan menyelamat juga melihat beberapa mayat lagi dari udara dan sudah meminta bantuan kapal mengambilnya, kata Kapten Giucemar Tabosa Cardoso.

Pesawat Airbus Flight 447 hilang dalam cuaca buruk pada 31 Mei lalu ketika dalam perjalanan dari Rio de Janeiro ke Paris membawa 228 penumpang yang kini dianggap terkorban.

Siasatan semakin tertumpu kepada persoalan sama ada peralatan luaran pesawat terlalu sejuk hingga mengelirukan pengimbas menyebabkan komputer meningkatkan kelajuan atau memperlahankan kelajuan, satu faktor yang boleh membawa padah.

Agensi Perancis, BEA yang menyiasat bencana itu berkata, alat kelajuan di udara pada pesawat terbabit tidak digantikan mengikut saranan pengeluar.

Tetapi, ia juga menekankan masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sejauh mana perkara itu menyumbang kepada nahas.

BEA berkata, pesawat itu mencatat bacaan kelajuan tidak konsisten daripada beberapa peralatan ketika Airbus berkenaan berada dalam cuaca buruk.

Di Brazil, pegawai kanan tentera udara, Kolonel Henry Munhoz, berkata beliau tidak dapat memberi maklumat segera berapa banyak mayat dilihat dari udara.

Cardoso berkata, kapal yang menuju ke lokasi akan membawa mayat itu beberapa jam lagi meskipun keadaan hujan dan jarak penglihatan tidak begitu baik.

Mayat yang ditemui semalam tidak mempunyai dokumen pengenalan dan pihak berkuasa tidak menetapkan jantina mereka. Dua mayat yang ditemui awalnya adalah lelaki.

Tiga mayat yang kemudian ditemui 70 kilometer daripada penemuan pertama apabila Airbus itu memberi beberapa mesej menyatakan ia menghadapi masalah elektrik dan hilang tekanan kabin.

Pegawai enggan memberitahu keadaan mayat atas alasan ia akan memberi masalah emosi kepada sanak saudara mangsa.

Pihak berkuasa juga mengumumkan pasukan pengesan nampak dua kerusi pesawat dan sampah lain dengan lambang pesawat selain mendapat serpihan sayap enjin dan serpihan lain dengan logo Air France.

- AP
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url