7,300 tan sampah dibuang ke sungai setiap hari
Begitulah keadaannya berat pelbagai jenis sampah yang terpaksa dibersihkan oleh pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dari sungai akibat sikap tidak bertanggungjawab warga kota.
Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon berkata, secara puratanya kira-kira 7,300 tan sampah telah dibuang ke dalam sungai di sekitar Kuala Lumpur pada setiap tahun.
Menurutnya, angka itu diperoleh daripada laporan DBKL baru-baru ini berkaitan kerja pembersihan sungai di ibu kota pada setiap hari.
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu tidak seharusnya berlaku kerana sungai perlu bebas daripada sebarang pencemaran.
"Sukar dipercayai ada kalangan masyarakat yang sanggup membuang sampah seperti botol air, plastik, beg dan tilam ke dalam sungai.
"Tindakan membuang sampah ke dalam sungai tidak harus diamalkan dalam budaya serta persekitaran ketika ini kerana untuk memulihara sumber air, kita mestilah memelihara setiap sungai yang ada," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (EGM) ke-3 Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Nor Azmal Mohd. Nazir.
Noriah menambah, walaupun sumber bekalan air di negara ini masih mencukupi semua pihak perlu mengamalkan pengunaan secara berhemah.
Melalui amalan itu katanya, ia dilihat dapat mengurangkan permintaan pengunaan air selain mengatasi masalah pembaziran.
Beliau berkata, mengikut kajian terbaru oleh Forum Kemanusiaan Global (GHF), badan itu menganggarkan perubahan iklim dunia akan mengakibatkan 315,000 kematian setiap tahun akibat kebuluran, penyakit dan bencana alam termasuk kekurangan bekalan air.
"Malah, jumlah itu dianggarkan akan meningkat kepada setengah juta pada tahun 2030.
"Maka semua pihak harus sedar dan menggunakan air secara berhemah selain mengikis tanggapan 'saya boleh guna air sebanyak mana yang saya suka' untuk mengatasi kemungkinan itu," ujarnya.
- UTUSAN