Antara influenza A H1N1 dan denggi
Pensyarah Kanan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan,
Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu
INFLUENZA A H1N1 dan demam denggi, kedua-duanya adalah penyakit bawaan virus. Kedua-duanya menekankan aspek pencegahan yang dibuktikan mampu menghindar penularan.
Kedua-duanya adalah penyakit yang penawarnya masih dicari dan sedang diusahakan di pelbagai peringkat. Pada masa yang sama, kedua-duanya kini menunjukkan angka yang meningkat dengan kadar yang begitu cepat.
Namun populariti kedua-duanya amat jauh berbeza. Glamor yang dikecapi oleh influenza A H1N1 ini jauh lebih ketara berbanding denggi. Masyarakat amat mengenali organisma influenza A H1N1 jauh lebih hebat berbanding dengan virus denggi.
Dari perspektif sebaran maklumat, keadaan ini menunjukkan ramai yang sanggup menunda penerbangan ke negara-negara berisiko, menjauhi mereka yang disyaki, memakai penutup hidung namun ironinya masih mendiami kawasan rumah yang dihuni oleh vektor-vektor virus denggi iaitu Aedes.
Sememangnya berjaga-jaga menghadapi wabak baru merupakan suatu tindakan proaktif yang amat penting, namun ia tidak seharusnya mengalpakan perjuangan kita memerangi denggi.
Berbanding dengan influenza A H1N1, denggi merupakan wabak yang sudah lama bertapak di Malaysia. Perang terhadap denggi bukan sahaja perjuangan yang belum selesai, bahkan seharusnya dilipatgandakan memandangkan senario semasa amat membimbangkan.
Atas faktor inilah pihak Kementerian Kesihatan akan mula mengambil langkah yang lebih tegas terutamanya dalam aspek penguatkuasaan kompaun bagi memastikan semua pihak menunjukkan keprihatinan yang tinggi dalam membasmi penyakit ini.
Tidak perlulah kita menunggu pihak penguat kuasa kementerian datang ke rumah kita membuat pemeriksaan dan kemudiannya mengkompaun kita. Juga tidak perlulah kita menunggu diri atau ahli keluarga mahupun sahabat kita dimasukkan ke wad baharulah sibuk hendak mengemas halaman, memusnahkan segala takungan dan menghapuskan segala potensi yang ada bagi sarang pembiakan, kerana pada waktu tersebut nasi mungkin sudah menjadi bubur.