Bangun reaktor nuklear - PM
Malaysia berminat mencontohi Korea Selatan dalam membangunkan reaktor nuklear berskala kecil untuk menjana tenaga kerana ia lebih selamat dan murah berbanding loji janakuasa yang menggunakan arang batu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Korea Selatan mempunyai kelebihan berbanding negara lain dalam teknologi reaktor nuklear berskala kecil dengan 40 peratus daripada keperluan tenaga dalam negaranya dibekalkan melalui pelbagai jenis reaktor nuklear, bersaiz besar dan kecil.
Sehubungan itu, beliau akan meminta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Johnity Ongkili untuk ke Korea Selatan bagi meninjau teknologi tersebut dalam masa terdekat.
"(Reaktor) yang kecil ini begitu selamat sekali sehingga boleh didirikan di sebelah kawasan perbandaran yang hendak dibekalkan dengan tenaga elektrik.
"Kemampuannya dalam lingkungan 200,000 hingga 300,000 kiloWatt dan Presiden Korea Selatan maklumkan bahawa kosnya adalah sepertiga daripada kos loji janakuasa arang batu," katanya.
Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia ketika diminta mengulas hasil pertemuan dua hala beliau dengan Presiden Lee Myung-bak selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan di sini hari ini.
Selain teknologi nuklear untuk tenaga, Najib berkata, kerajaan juga berminat dengan teknologi hijau dan karbon rendah yang kini diguna pakai di republik itu.
Menurutnya, konsep itu selaras dengan agenda kerajaan mempromosikan teknologi hijau dengan mewujudkan kementerian berkaitan.
"Tadi saya telah melihat banyak perkara baru yang amat menarik dan ada potensi besar untuk diaplikasikan di dalam negara kita.
"Antaranya adalah usaha mereka untuk membersihkan sungai dan kawasan pesisiran sungai," katanya merujuk lawatan pemimpin ASEAN bersama Presiden Korea Selatan ke pameran "Green Growth, Green Asia" di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Jeju di sini, yang dianjurkan sempena sidang kemuncak itu.
Najib turut tertarik dengan kos pembersihan empat buah sungai besar di Korea Selatan hanya menelan belanja kira-kira AS$50 juta (RM166.5 juta) malah usaha tersebut turut mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baru.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut tertarik dengan teknologi membran dalam proses penulenan air yang berpotensi besar dimajukan di Malaysia, selain tenaga alternatif seperti solar dan angin yang digunakan dengan begitu meluas di republik tersebut.
- UTUSAN