Skim pinjaman khas elak Ah Long
Dua persoalan itu mesti dicari jawapannya. Itu pun jika kerajaan benar-benar serius mahu meruntuhkan 'industri' ah long yang semakin membina nama di negara ini.Yang pasti masalah utama peniaga kecil atau mereka yang berminat menceburi bidang perniagaan adalah kekurangan modal.
Kononnya telah banyak skim pinjaman mudah disediakan untuk membantu golongan itu. Namun cadangan yang rapi dan indah di atas kertas itu ternyata tidak dilaksanakan sebaik mungkin.
Untuk mendapatkan pinjaman RM10,000 pun, golongan peniaga terpaksa melalui kerenah birokrasi yang pelbagai.
Bukan itu sahaja, mereka terpaksa menunggu untuk satu tempoh yang panjang sebelum mengetahui status pinjaman masingmasing. Amat malang sekali jika ada kalangan pemohon tidak mengambil langkah susulan, maka fail permohonan mereka terperap tidak diusik.
Lebih memeritkan apabila ada sahaja 'orang tengah' yang mengambil kesempatan meminta habuan.
Pengalaman pahit 'orang kecil' berhadapan dengan kerenah institusi kewangan sematamata untuk mendapatkan RM10,000, hakikatnya menyemarakkan 'industri' ah long.
Ah long tidak meminta banyak dokumen. Kad pengenalan dan buku akaun memadai. Cukup syarat, wang berpindah tangan kepada peminjam.
Oleh kerana keperluan mendapatkan wang lebih mendesak, maka si peminjam tidak menghiraukan syarat-syarat lain termasuk yang boleh mengancam nyawa mereka.
Apatah lagi jika bisnes yang ingin diceburi itu diyakini mempunyai prospek yang cerah. Sudah tentu tiada kebimbangan tentang keupayaan membayar balik pinjaman.
Tidak terfikir juga di benak peminjam akan menjadi buruan ah long sedangkan untung rugi perniagaan sukar untuk ditentukan dalam tempoh yang singkat.
Sebab itu apabila kerajaan tampil dengan cadangan mewujudkan skim pinjaman untuk golongan yang tidak mempunyai kerja tetap, pelaksanaannya mesti bersungguh-sungguh.
Sekadar menyusun kertas kerja dan mengusulkan cadangan yang enak didengar tidak akan membantu golongan tersebut. Kita tidak mahu cadangan terbaru ini mengulangi episod birokrasi institusi perbankan seperti yang berlaku pada pelbagai skim pinjaman untuk peniaga yang menawarkan dana berjuta.
Tetapi hasilnya, hanya 10 peratus daripada dana tersebut dapat dimanfaatkan bagi membantu peniaga baru, manakala jumlah selebihnya "beku" di dalam simpanan pihak perbankan.
Skim pinjaman khas itu kelak mesti mempunyai ciri-ciri ah long iaitu daripada segi "mudah dan cepat". Elemen penting lain adalah cekap untuk memastikan wang yang berpindah tangan tidak disalahgunakan.
Sistem pemantauan yang berkesan mesti mengiringi kewujudan skim itu kelak. Penyeliaan mesti dilakukan kerana pinjaman yang mudah, akan terbuka untuk disalahgunakan.
Ketiadaan pemantauan yang cekap akan menggagalkan matlamat sebenar skim tersebut diwujudkan. Lebih penting kita tidak mahu skim yang murni matlamatnya itu menjadi ah long kedua, di mana para peminjamnya lebih bebas kerana mengetahui mereka tidak akan dikurung atau diburu.