Isu Pendidikan - Penghasilan guru

Kerjasama erat antara Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menjadi jambatan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan dan latihan guru. Malah, ramai yang melihat pemuafakatan itu pendekatan terbaik menangani pelbagai isu termasuk masalah lebihan guru yang suatu ketika dulu pernah dipolemikkan. Ikuti pandangan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa mengenai kepentingan kerjasama kedua-dua kementerian dalam memperkasakan latihan perguruan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.

Dengan kapasiti 13 institusi pengajian tinggi awam yang menawarkan 43 program pengajian pendidikan, IPTA jelas berperanan besar dalam menyumbang kepada penghasilan guru berijazah bagi memenuhi keperluan bidang berkenaan setiap tahun.

Dengan matlamat melahirkan guru siswazah sekolah menengah seluruh negara, tanggungjawab IPTA juga tidak lari daripada memastikan pengisian kurikulum dan latihan perguruan yang ditawarkan mampu memastikan kecemerlangan pendidikan, sekali gus menyokong Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, Kementerian Pelajaran.

Guru sememangnya tidak lari sebagai tunjang memastikan kesinambungan proses pembelajaran pelajar berlaku bermula di peringkat sekolah rendah, menengah dan universiti.

Sebelum ini wujud perselisihan pendapat apabila universiti menyalahkan sekolah yang dikatakan ‘gagal’ melaksanakan tanggungjawab mendidik pelajar apabila ‘output’ diterima universiti tidak mencapai tahap dikehendaki.

Masing-masing menuding jari sehingga mengundang pelbagai kemelut yang akhirnya membawa kepada usul perlunya kerjasama antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA.

Kini, jawatankuasa bersama kedua-dua kementerian diwujudkan dengan matlamat memupuk kerjasama dan penyelarasan dalam merancang serta melaksanakan program pembangunan pendidikan khususnya berkaitan pengisian kurikulum dan latihan yang dibangunkan IPTA.

Penubuhan jawatankuasa itu yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kedua-dua kementerian penting bagi membangun dan memajukan sistem pendidikan negara ke arah melahirkan modal insan terbaik.

Pertemuan dan interaksi berkala diadakan dengan pihak berkepentingan bagi membincang serta memperhalusi semua perkara berkaitan guru.

Pemuafakatan itu penting bagi memastikan matlamat melahirkan guru berpengetahuan, terlatih dan berkelayakan, sekali gus mampu menyumbang tenaga ke arah melahirkan generasi masa depan berketerampilan dan jati diri unggul.

Malah, jawatankuasa itu turut berperanan menangani beberapa kemelut berkaitan guru yang pernah dipolemikkan sebelum ini termasuk isu lebihan guru serta latihan dan kurikulum yang kurang berkesan akibat wujudnya ‘salah padan’ kedua-dua kementerian.

Situasi menang-menang dalam menyelesaikan masalah perlu diamalkan bagi memastikan pengambilan bakal guru bukan dilakukan sewenang-wenang atau hanya mengisi kekosongan tempat ditawarkan.

Di peringkat IPTA pula, Majlis Jemaah Dekan Fakulti Pendidikan diwujudkan dengan peranan memantapkan pengisian kurikulum program perguruan di universiti masing-masing, selain memastikan unjuran keperluan guru yang tepat.

Perbincangan mengenainya seperti digariskan Kementerian Pelajaran diberi keutamaan bagi memastikan jumlah kemasukan pelajar baru selari dengan keperluan.

Bagi membantu menangani masalah kekurangan guru subjek tertentu pula, pengambilan pelajar terbabit dipertingkatkan tetapi perlu diselaraskan dengan bilangan pensyarah dalam bidang berkenaan.

Dalam konteks ini, perancangan mengenal pasti unjuran dan keperluan guru mengikut bidang secara teliti amat penting supaya tidak berlaku lambakan ataupun kekurangan guru sesuatu bidang itu.

Malah, penyelarasan dan keseragaman dalam syarat asas kemasukan program pendidikan di IPTA juga diberi penekanan bagi memastikan siswazah dihasilkan menepati kriteria ditetapkan.

Menyedari keperluan dan kehendak pihak berkepentingan, Fakulti Pendidikan, UPSI sebagai penyumbang terbesar penghasilan guru sentiasa peka terhadap perkembangan pendidikan semasa.

Antara transformasi dilaksanakan adalah menambak baik kurikulum sedia ada supaya sentiasa relevan dengan mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Bahagian Pendidikan Guru.

Pengenalan kurikulum baru dilaksanakan dengan memfokuskan keperluan penguasaan subjek dan atribut seorang guru termasuk memastikan tahap keupayaan mengajar pelajar UPSI bukan hanya terhad di peringkat sekolah menengah semata-mata, malah mampu mencecah peringkat pengajian tahun pertama di universiti.

Selain penawaran program pendidikan dalam pengkhususan bidang tertentu, pelajar UPSI turut digalakkan mengambil lebih daripada satu bidang menerusi pengenalan pakej minor bagi membina pengetahuan, sekali gus membolehkan mereka mengajar subjek kedua, selain major.

Pelajar UPSI juga dilatih lebih kreatif dan kritis ketika mengajar, selain berketerampilan serta sanggup berkhidmat di mana saja.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url