Enjin carian alternatif Bing.com
Jika enjin carian sedia ada gagal memberikan hasil carian terbaik, Bing.com percaya ia bakal menjadi pilihan pengguna hari ini.
Sebuah njin carian, Decision Engine diperkenalkan oleh Microsoft Corp. baru-baru ini bagi menawarkan pelanggan dengan satu pendekatan yang lebih pantas dan bijak dalam membuat keputusan.
Ia direka untuk memperkasakan pengguna dalam mencari pengetahuan diri menerusi laman-laman web sebelum membuat keputusan penting secara pantas. Perkhidmatan baru yang boleh diperoleh dari alamat http://www.Bing.com itu sudah mula beroperasi sejak 3 Jun lalu.
Bing direka khas selari dengan manfaat enjin-enjin carian Internet hari ini dengan tarikan berbeza kepada pengguna. Sebagai sebuah aplikasi yang intuitif, ia membantu pelanggan membuat keputusan yang bijak dan memberi tumpuan kepada empat aspek penting.
Empat aspek itu merangkumi keputusan merancang percutian, mencari peluang perniagaan tempatan, membuat pembelian atau mengkaji sesuatu keadaan kesihatan.
Perkembangan mendadak kandungan dalam talian menjadikan enjin Bing satu pendekatan mudah untuk membantu pengguna tidak terlepas daripada masalah maklumat terlebih muatan.
Kajian yang dijalankan oleh comScore Inc. terhadap enjin-enjin carian utama mendapati, hampir 30 peratus daripada enjin itu dipinggirkan tanpa memperoleh hasil memuaskan.
Data tersebut juga menunjukkan kira-kira dua pertiga daripada enjin carian selebihnya memerlukan penapisan pada halaman hasil carian.
"Dewasa ini, enjin-enjin carian banyak membantu pengguna melayar Internet dan mencari maklumat, tetapi, ia tidak begitu memainkan peranan dalam membolehkan orang menggunakan maklumat yang dicari.
"Apabila kami memutuskan untuk membina Bing, kami telah sedaya upaya memahami bagaimana pengguna ingin menggunakan Internet. Bing ialah satu langkah pertama yang penting dalam usaha jangka panjang kami untuk menyediakan inovasi perkhidmatan carian secara pantas. Tidak lupa juga membantu pengguna menyelesaikan tugasan dan membuat keputusan bijak," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Steve Ballmer.
Bing dibangunkan berdasarkan tiga matlamat penting. Ini merangkumi hasil carian terbaik, memberi pengalaman yang lebih tersusun dan meringkaskan tugasan bagi mengecapi keputusan yang pantas.
Hasil kajian Microsoft mendapati, hanya satu dalam empat enjin carian menghasilkan keputusan yang memuaskan.
"Best Match membantu Bing mengetengahkan jawapan terbaik manakala Deep Links membolehkan pengguna mengetahui sesuatu sumber maklumat dengan lebih terperinci," katanya.
Selain itu, Bing juga merangkumi ciri satu klik untuk memudahkan akses kepada maklumat menerusi Instant Answers. Instant Answers telah direka untuk menawarkan maklumat yang dicari dalam halaman hasil carian sekali gus mengurangkan klik tambahan.
Tambahan pula, portfolio baru ini juga meliputi beberapa perubahan kepada program Microsoft sedia ada. Antaranya termasuklah platform Virtual Earth yang kini dijenamakan semula sebagai Bing Maps for Enterprise. Sementara itu, program rebat wang tunai Microsoft yang popular pula kini dikenali sebagai Bing cashback. Bing cashback menawarkan lebih 850 pedagang dan 17 juta produk yang disepadukan dalam pengalaman membeli-belah Bing.
- KOSMO!