H1N1: 2 lagi kes baru, kini meningkat 17 kes

Dua lagi kes baru Influenza A (H1N1) dikesan dalam negara, menjadikan jumlah kes-kes jangkitan penyakit itu sehingga pukul 2.30 petang ini berjumlah 17, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Isnin, beliau berkata semua kes yang dikesan adalah kes import.

Katanya kes ke-16 membabitkan seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun yang merupakan pemastautin Amerika Syarikat yang berkunjung ke Malaysia untuk melawat keluarga di Sabah.

Katanya pelajar ini tiba di Kota Kinabalu dengan penerbangan MH385 dari Hong Kong pada 13 Jun lepas.

"Beliau dikesan dan disahkan demam semasa saringan di Lapangan Terbang Kota Kinabalu di samping mempunyai simptom batuk. Kes in dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu, dan beliau disahkan menghidap jangkitan influenza A(H1N1) pada pukul 12.17 tengah hari ini," menurutnya.

Dr Mohd Ismail berkata ibu pelajar ini yang juga menaiki pesawat yang sama diletakkan di bawah kuarantin dan berada dalam keadaan sihat buat masa ini.

Sementara itu menurutnya kes ke-17 pula membabitkan seorang wanita rakyat tempatan berumur 26 tahun, yang melancong ke Melbourne, Australia dari 4 hingga 13 Jun lepas.

Beliau berkata wanita itu balik ke Malaysia dari Melbourne dengan menaiki pesawat Air Asia X D7 2723 dan sampai di LCCT pada pukul 7.15 pagi, 13 Jun lepas.

Katanya wanita ini mengalami simptom jangkitan influenza semalam sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dimasukkan ke hospital itu pada hari yang sama.

"Beliau disahkan mengidap influenza A(H1N1) pada pukul 12.35 tenga hari ini," katanya.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan sedang mengesan kesemua kontak termasuk krew penerbangan dan penumpang MH 385 yang mendarat di Kota Kinabalu pada 13 Jun 6.10 petang dan Air Asia D7 2723 yang mendarat di LCCT pada 13 Jun pukul 7.15 pagi.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url