H1N1: Jangan lupa munajat kepada Allah

Pepatah Melayu ada menyebut: "Penyakit itu datang macam ribut tetapi pergi macam semut". Barangkali inilah yang sedang dihadapi oleh masyarakat global termasuk di negara kita sendiri.

Penularan wabak Influenza A (H1N1) nampaknya semakin serius dan sukar dibendung. Syukurlah di Malaysia belum ada korban akibat virus tersebut.

Walaupun demikian, kerajaan telah dan sedang mengambil pelbagai langkah untuk mengawal merebaknya pandemik yang menyerang dunia sejak April lalu.

Antaranya, Kementerian Kesihatan membekalkan 200,000 dos vaksin influenza kepada semua negeri sejak awal Mei lalu untuk disuntik kepada petugas barisan hadapan.

Mereka ini terdiri daripada penjawat awam di bawah kategori anggota kesihatan dan perubatan, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Imigresen.

Tindakan itu sekurang-kurangnya melegakan petugas bahagian hadapan kerana ia boleh menjadi pelindung daripada dijangkiti H1N1.

Pada masa yang sama kerajaan juga mengambil langkah segera menutup dua buah sekolah semalam menjadikan kesemuanya empat sekolah dengan jumlah kes meningkat kepada 69 berikutan penularan tempatan wabak H1N1 tersebut.

Seri Cempaka International School di Cheras ditutup sehingga Sabtu ini manakala Sekolah Rendah Kebangsaan Assunta 1 di Petaling Jaya ditutup selama seminggu.

Dalam kesibukan kita merancang pelbagai usaha bagi membendung penularan virus yang belum ditemui penawarnya ini, jangan kita lupa bermunajat memohon perlindungan Allah daripada bala ini.

Sesungguhnya, musibah mahupun azab yang ditimpakan Allah SWT kepada manusia ditujukan agar mereka kembali mentauhidkan Allah SWT. Dan menjalankan seluruh syariat-Nya dalam kehidupan bernegara dan bermasyarakat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang maksud-Nya: Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepadanya hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. (al-Taghabun: 11).

Menurut Imam al-Baidhawi, musibah adalah semua kemalangan yang dibenci dan menimpa umat manusia. Ini berdasarkan penjelasan Rasulullah SAW, "Setiap perkara yang menyakiti manusia adalah musibah". (Imam al-Baidhawi)

Sayangnya, banyak orang memandang musibah sebagai peristiwa dan fenomena alam biasa, bukan sebagai peringatan dan pelajaran dari Allah SWT. Akibatnya, mereka tetap tidak mahu berubah dan memperbaiki diri.

Mereka tetap melakukan kemaksiatan dan mensia-siakan syariat Allah SWT. Mereka lebih percaya kepada kekuatan ilmu dan teknologi yang dicipta manusia untuk menahan bencana dan musibah, daripada "kekuatan dan kekuasaan" Allah SWT.

Adanya musibah tidak menjadikan mereka rendah diri dan bersandar kepada Allah, namun menyeret mereka untuk semakin ingkar kepada Allah SWT.

Benar, salah satu bentuk pertahanan diri untuk menjaga kepentingannya adalah berusaha semaksimum mungkin untuk menangkal bencana dan musibah dengan berbagai saranan dan prasarana.

Oleh itu, umat Islam misalnya boleh membaca qunut nazilah dalam solat subuh atau pun pada solat Jumaat. Imam Syafi'e rahimahullah berkata: "Apabila turun musibah kepada kaum muslimin disyariatkan membaca qunut nazilah pada seluruh solat wajib". (Syarhus Sunnah karya Al-Baghawi 2/279).

Qunut nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bala bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan, ditimpa wabak seperti H1N1, diserang belalang dan sebagainya.

Selain itu, boleh juga diadakan solat hajat di seluruh negara agar dijauhkan daripada ditimpa H1N1.

Penganut agama lain juga boleh mengambil langkah yang sama mengikut ritual masing-masing. Apa yang penting, matlamatnya untuk memohon kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url