Hassan Din suka bebas


Sebaik cerita ini tersiar hari ini, Datuk Abu Hassan Din al-hafiz sebenarnya baru lima hari pulang ke tanah air selepas selamat menunaikan umrah bersama isteri, Datin Rosbi Shahbudin. Yang pasti, ini adalah umrah kali kelapan beliau sejak bersara sepenuhnya pada 1 Januari 2007.

Bukanlah hasrat penulis untuk riak perkara di atas cuma sekadar menjelaskan bagaimana kehidupan yang dilalui insan yang pernah suatu masa dahulu terlalu sibuk, terikat serta tidak sahaja memikul komitmen kepada istana, sebagai ketua keluarga dan juga umat Islam, amnya.

Malah akui Abu Hassan, semasa dalam tempoh sedang berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan, beliau bukannya langsung tidak boleh menerima jemputan ceramah, cuma prioriti adalah kepada tugas-tugas rasmi di istana.

Begitu juga dengan pelaksanaan haji dan umrah, kesemua pemergian beliau ke dua kota suci itu adalah memenuhi misi tugas rasmi iaitu mengiringi Yang di-Pertuan Agong.

Lantaran itu, akui Ikon Astro Oasis ini, kalau sudah terbiasa sibuk maka sehingga sudah bergelar pesara pun, beliau tidak pandai duduk diam. Cuma katanya, kesibukan itu tidaklah sampai terikat. Apa yang pasti kebebasan itu dapat dinikmati dalam erti kata yang sebenar.

Yang seronoknya kata mantan Pegawai Agama Istana Negara ini lagi, rutin hariannya tidak lagi perlu memikirkan soal tugasan. Malah keseluruhan masa luang yang ada adalah diperuntukkan untuk diri dan keluarga yang telah banyak berkorban. Di samping itu, bebas melakukan hobi seperti berkebun, memelihara ikan kolam dan ikan akuarium, menulis dan memancing yang sebelum ini agak terbatas peluangnya.

Ini terbukti semasa kunjungan kami ke banglo dua tingkat beliau yang terletak di Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, sehari sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah, beliau masih sibuk dengan kerja-kerja penulisan yang boleh dikira sudah sebati dalam dirinya.

Begitulah sebahagian daripada rutin harian tokoh berusia 63 tahun ini. Akui Abu Hassan, melalui detik bergelar pesara memang satu keseronokan bagi beliau yang tidak pernah dirasakan semenjak berkhidmat di Istana Negara pada 1984 hingga 2006.

"Inilah hidup saya sekarang... bebas melakukan apa sahaja bersama isteri, anak-anak dan cucu-cucu, beribadat, menyumbang khidmat sosial, melancong dan bebas melakukan aktiviti hobi iaitu keluar memancing ke laut lepas.

"Selepas melepaskan jawatan dua tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk duduk di rumah sepenuhnya.

"Lagipun, sudah lebih 20 tahun saya bekerja dan sudah berkhidmat dengan tujuh Yang di-Pertuan Agong. Malah, saya lepas semua jawatan seperti ahli majlis agama dan ahli majlis fatwa.

"Minggu pertama pencen adalah saat paling menyeronokkan kerana tidak lagi memikirkan pasal kerja atau mesyuarat yang perlu dilakukan. Sungguhpun begitu, selepas pencen ramai yang ajak menyertai perniagaan mereka tetapi saya tolak secara baik. Banyak yang menghubungi saya khususnya syarikat penerbitan, agensi pelancongan dan pengerusi syarikat.

"Hakikatnya, saya tidak mahu terikat dengan sesiapa, saya hendak bebas! Tidak masuk terlibat dengan mana-mana persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Menyertai politik? Langsung tidak terfikir atau teringin. Pun begitu, saya masih terima penglibatan sebagai penasihat dengan Bank Rakyat, Pengerusi panel syariah Amanah Ikhtiar Malaysia dan Ahli jawatankuasa panel syariah Takaful Kammon Bangkok," cerita Abu Hassan bersemangat.

Menceritakan hobi memancing yang bermula sejak usia belasan tahun, luah Abu Hassan, beliau sendiri tidak tahu dari mana minat itu datang kerana daripada 10 adik-beradik, beliaulah satu-satunya yang suka menyuluh, mengail, menjala, menahan taut dan meroncat (tangkap ikan haruan menggunakan batang buluh panjang yang menggunakan umpan anak katak hidup).

"Saya masih ingat masa dulu-dulu di kampung Bohor Mali, Kayang, Perlis terutamanya selepas orang kampung memotong padi, bila kemarau datang dan pada masa sama, haruan akan naik.

"Walaupun, emak tidak pernah suruh tetapi minat itu memang sentiasa ada. Jadi, waima sorang-sorang, saya tetap akan buat persiapan seperti mencari buluh, anak-anak katak dan operasi mencari (meroncat) itu dilakukan pada sebelah malam.

"Tidak dapat saya bayangkan, keberanian yang ada pada masa itu kerana terpaksa berjalan berbatu-batu bersendirian dalam gelap pekat malam dengan hanya dibekalkan air kopi O panas oleh emak.

"Namun, bila melihat habuan yang diperoleh malam itu, kepuasannya sungguh mengujakan, meskipun tangan dan kaki penuh berlumpur," cerita Abu Hassan yang juga pandai mengait jala dan menahan taut di bendang sehingga jumlahnya mencecah ratusan ekor ikan secara berseorangan.

Seperkara yang menarik dikongsi tentang minat tokoh agama ini ialah pengalaman beliau diganggu hantu semasa keluar mengoncat dan menyuluh ketam di hutan bakau. Pun begitu, ia sedikitpun tidak melemahkan semangat beliau untuk terus dengan minat tersebut.

Namun, apabila berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 18 tahun untuk menyambung pengajian dalam bidang hafazan al-Quran, kata Abu Hassan, minat tersebut terhenti dan terpadam selama empat tahun.

Tambah pula bidang pengajian beliau memerlukannya meneruskan pengajian ke luar negara iaitu di Mesir. Selama tujuh tahun di sana, terkuburlah minat memancing.

"Saya berkahwin di Mesir pada tahun 1972 dan balik ke tanah air pada 1977 dan menjadi Imam Besar Masjid Negara. Isteri saya pula adalah orang Melaka yang tinggal di Kuala Linggi. Kebetulan pula ramai ahli keluarga terdekatnya (bapa saudara, sepupu) bekerja di laut menangkap ikan, secara tidak langsung minat lama itu berputik kembali.

"Mulanya sekadar mengikut dan suka-suka, saya ada juga ikut mereka turun ke laut. Itupun sampai saya sanggup membeli bot bagi memudahkan hasrat keluar memancing di perairan Melaka. Saya sebenarnya lebih suka keluar memancing ke laut lepas. Antara lokasi pilihan seperti ke Pulau Sembilan di Perak, Rompin, Pahang dan ke Laut China Selatan.

"Ke laut lepas, keseronokannya berbeza, macam juga dengan minat berburu dahulu. Mula-mula tembak burung dekat-dekat rumah. Kemudian punai di Kuala Kubu Baru, Batang Berjuntai Selangor. Lepas itu, tembak ayam di kebun kelapa sawit, sebelum bertukar kepada pelanduk dan kijang yang perlu masuk ke hutan," kata Abu Hassan yang tidak lagi keluar berburu memandangkan faktor umur dan stamina.

Kebiasaannya, banyak perkara negatif muncul apabila seseorang itu terlalu taksub dengan hobi, lebih-lebih lagi berkaitan hobi memancing.

Menjelaskan salah fahaman ini, Abu Hassan sentiasa memastikan hobi memancing itu tidaklah sampai ke peringkat beliau lupa dengan tanggungjawab.

"Walaupun aktiviti itu dirancang lebih awal tetapi jika ada kecemasan, saya akan batalkan. Bagi saya, biar hobi sekalipun, janganlah sampai abaikan tanggungjawab. Apatah lagi, isteri saya juga mengizinkan saya pergi dan tidaklah sehingga kami berkelahi atas sebab hobi saya itu.

"Malah, saya pergi dengan anak-anak dan kadang kala saya bawa isteri pergi, tapi dia tidak ikut ke laut lah, cuma tinggal di hotel. Memancing ini seronok kerana ada rezeki dari laut. Malah boleh dikatakan jiran-jiran sekeliling rumah puas merasa hasil tangkapan yang diperoleh," ujar beliau sambil ketawa kecil.

Akui Abu Hassan, dalam keseronokan itu, beliau juga pernah mengalami pengalaman menakutkan ketika di tengah-tengah laut. Insiden paling tidak dapat dilupakan adalah semasa memancing di Pulau Sembilan, bila mana laut bergelora dan bot dinaiki dipukul ombak besar dan arus deras.

"Tambah memburukkan keadaan, apabila salah seorang daripada kawan saya terjatuh ke laut. Saya pula pada masa itu baru lepas melakukan pembedahan. Ya Allah, Tuhan sahaja mengetahui keadaan cemas dan kelam-kabutnya saat itu.

"Kami cuba menghulurkan tali, tayar, pelampung, dengan harapan agar dia dapat terapung dan bertahan sementara menunggu laut tenang. Alhamdulillah, suasana kembali tenang selepas pertarungan selama tiga jam. Kawan yang jatuh tadi pun dapat diselamatkan," cerita beliau.

Satu lagi hobi Abu Hassan ialah penglibatan aktif beliau dalam dunia penulisan sama ada rencana, skrip drama dan telemovie. Minat ini telah bermula sejak menjadi Imam Masjid Negara sekitar tahun 1970-an lagi.

Pada masa itu, beliau tidak menggunakan nama sebenar tetapi lebih senang menggunakan nama samaran seperti Abu Yusha atau Hasnuba.

Berkongsi kenangan manis menulis pada zaman dahulu, cerita Abu Hassan menaip menggunakan mesin taip begitu tinggi nilai nostalgianya.

"Bayangkan kalau ada yang hendak ditokok-tambah atau diubah, terpaksa dirombak keseluruhan skrip. Malah saya pernah ditegur isteri kerana bunyi bising ketukan yang dihasilkan daripada mesin taip menganggu waktu tidurnya.

"Namun kecanggihan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) sekarang ini telah banyak memudahkan kerja-kerja penyiapan sesebuah skrip," kata Abu Hassan mengakhiri perbualan kami pada pagi Jumaat itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url