Top Ad 728x90

,

Ikan gergasi di Tasik Kenyir sekadar mitos

Kewujudan ikan gergasi di Tasik Kenyir di Hulu Terengganu seperti didakwa masyarakat Orang Asli dan nelayan tasik yang mencari rezeki di situ dianggap sebagai satu mitos dan belum terbukti kebenarannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za’bar Mohd Adib, berkata tindakan individu menyebarkan kisah misteri itu boleh menjejaskan industri pelancongan di tasik itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah mendengar cerita berkaitan ikan gergasi di tasik itu dan menganggapnya andaian semata-mata.

“Saya berharap pihak yang menyebarkan cerita itu tunjukkan bukti supaya pihak berkenaan boleh menjalankan kajian untuk memastikan kebenarannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, kematian seorang pekerja projek Taman Burung, Helmi Shukri Hashim, 28, dari Jengka, Pahang dan anggota bomba yang menjalankan operasi menyelamat, Aladi Hassan, 41 di tasik berkenaan, baru-baru ini, tidak ada kena mengena dengan ikan itu.

Katanya, faktor kedalaman air serta khazanah kayu balak yang banyak di dalam tasik itu dipercayai menjadi punca kejadian berkenaan.

“Kita perlu faham tasik berkenaan amat dalam malah terdapat banyak pokok kayu balak yang ditenggelamkan ketika empangan itu dibina. Berdasarkan laporan saya terima, dua mangsa itu ditemui dalam keadaan tersangkut di celah ranting kayu balak berkenaan,” katanya.

Za’bar berkata, kerajaan negeri kini merancang mempertingkatkan kemudahan di tasik berkenaan termasuk menyediakan garis panduan khas kepada pengusaha rumah bot berhubung aspek keselamatan bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.

Beliau mengulas laporan muka depan Metro Ahad semalam mengenai misteri ikan naga di tasik itu yang dikaitkan dengan kematian Helmi Shukri dan Aladi.

Sementara itu, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri, Fathil Ghani, berkata pihaknya percaya dakwaan itu tidak berasas dan dikhuatiri mengundang rasa cemas di kalangan pengunjung kawasan rekreasi itu.

“Kita sedang giat mempromosikan tasik berkenaan terutama kepada pelancong dan dakwaan tidak berasas itu boleh menjejaskan reputasi tasik itu yang terkenal sebagai syurga ikan bagi kaki pancing,” katanya.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90