Jackson tetap diingati sampai bila-bila
Ketika Iran sedang bergelut menghadapi pergolakan politik yang dianggap terbesar di negara itu sejak Revolusi Iran pada 1979 dan menepis segala kritikan Barat, dunia meratapi kematian seorang ikon industri muzik.
Kematian Raja Pop, Michael Jackson pada Khamis lepas lalu, akibat jantung tidak berfungsi memang mengejutkan.
Kematian Jackson berlaku tidak sampai sehari selang kematian Farrah Fawcett, 62, seorang lagi selebriti dan simbol seks Hollywood, yang meninggal dunia di sebuah hospital di Los Angeles pada kira-kira pukul 9.30 pagi (12.30 pagi waktu Malaysia), setelah berjuang selama tiga tahun menghadapi penyakit kanser usus.
Jackson, 50, yang turut dikenali sebagai Jacko meninggal dunia pada pukul 2.26 petang waktu tempatan (5.26 pagi Jumaat waktu Malaysia).
Jika Fawcett meninggalkan kenangan sedih di saat akhir kematiannya kerana hasratnya untuk mengahwini kekasihnya yang juga bintang Hollywood popular sekitar awal tahun 1980-an, Ryan O'Neal tidak tercapai, Jackson turut meninggal kenangan sedih tidak sempat mengadakan konsert terakhirnya sebanyak 50 siri mulai Julai ini di London, yang dirancang berbulan-bulan sebelum ini.
Jacko yang mengabdikan diri dalam dunia seni selama 46 tahun sejak berumur lima tahun ketika mula-mula menyertai Kumpulan ''The Jackson 5', yang ditubuhkan oleh abang-abangnya, sememangnya seorang ikon, bukan sahaja bagi muzik pop tetapi juga dalam industri hiburan yang digilai oleh berjuta-juta peminat dari seluruh dunia.
Sehubungan itu, tidak hairanlah sekiranya kematiannya benar-benar menggemparkan dunia seni, hatta di Malaysia.
Bagi sesetengah pihak, Jacko dianggap sebagai wira atas jasanya menjadikan muzik sebagai alat bagi menghapuskan perbezaan kaum terutama antara kulit putih dan kulit hitam di Amerika Syarikat (AS)
Hasratnya untuk menjadi bintang tertinggi akhirnya tercapai, walaupun sesetengah pihak menganggap Jackson hanya dapat menyamai kegemilangan mendiang Elvis Presly, yang juga bekas bapa mertuanya.
Kemuncak kejayaannya ialah pada tahun 1982 apabila album Thriller yang memuatkan lagu Billie Jean dan Beat It memenangi lapan anugerah Grammy dan muncul sebagai album terlaris sepanjang zaman.
Karier anak ketujuh daripada sembilan beradik, kelahiran Gary, Indiana itu dalam bidang seni seumpama mendaki gunung, bermula dari meniti di kaki bukit dan kemudian mencapai kemuncak kegemilangan sebelum di saat akhir hidupnya merudum dengan menempuh pelbagai ranjau dan duri termasuk didakwa mencabul kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun pada 1993.
Selain itu, Raja Pop itu turut mencetuskan kontroversi apabila membuat pembedahan plastik bagi menukar kulit dan wajahnya serta tentang laporan kononnya dia telah memeluk Islam.
Seperti selebriti Holloywood lain yang sering mencetuskan kontroversi, kematian mereka meninggalkan misteri tentang punca kematian mereka. Penyanyi yang terkenal dengan aksi 'Moonwalk' seolah-olah turut mengikuti jejak rakan-rakan selebriti Hollywood yang lain yang meninggalkan misteri tentang punca kematiannya.
Walau apa pun tanggapan orang ramai tentang Jackson - Raja Pop itu, dia akan diingati sampai bila-bila sebagai legenda dalam industri seni.