Jangan jadikan perang cara selesai konflik - Tun Mahathir

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sudah tiba masanya masyarakat dunia menghapuskan amalan menggunakan peperangan sebagai cara menyelesaikan masalah dan konflik.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, peperangan perlu dihapuskan sebagaimana sistem perhambaan yang wujud pada zaman dahulu tetapi kini telah dilenyapkan.

"Ini kerana peperangan mendatangkan kesan yang lebih buruk daripada perhambaan.

"Perbuatan membunuh menerusi peperangan tidak patut lagi diterima masyarakat yang bertamadun sebagaimana kita menolak jenayah membunuh ketika suasana aman," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Kemanusiaan yang diterima oleh beliau daripada Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) di sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Presiden dan pengasas LUCT, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing. Hadir sama ialah Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali

Dr. Mahathir merupakan salah seorang daripada tiga tokoh yang pernah dianugerahkan ijazah doktor kehormat oleh universiti tersebut.

Anugerah yang sama diberikan kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela dan bekas Presiden Botswana, Dr. Festus G. Mogae pada tahun lalu.

Pada April 2008, LUCT menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Transformasi Sosial kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir berkata, pihak yang melancarkan peperangan sehingga mengakibatkan pembunuhan mesti dianggap sebagai penjenayah dan perlu dihukum.

Kata beliau, pada zaman primitif, peperangan dianggap penyelesaian yang muktamad kerana mereka tidak mempunyai diplomat serta tidak ada cara penyelesaian melalui sistem perundangan di mahkamah.

"Bagaimanapun selepas masa berlalu, peperangan berubah menjadi lebih ganas, pembunuh atau tentera dilatih agar membunuh ribuan musuh atau lebih daripada itu.

"Untuk menang dalam peperangan, pelbagai strategi dan senjata baru dicipta," katanya.

Justeru katanya, peperangan menyebabkan negara-negara miskin yang berasa terancam memperuntukkan sebahagian besar pendapatan negara untuk membeli senjata.

"Namun, senjata itu kadang kala tidak digunakan sedangkan peruntukan berkenaan sepatutnya digunakan bagi menghapuskan kemiskinan dan seumpamanya.

"Negara miskin menjadi terus miskin manakala pedagang dan pengeluar senjata yang kaya meningkatkan pelaburan mereka untuk mengeluarkan senjata," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url