Saya ambil sikap terbuka - Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, beliau bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya.

Sehubungan itu, Najib menyerahkan kepada pihak Abdul Hadi untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan tersebut.

"Saya ucap terima kasih kepada Presiden Pas yang telah mengutarakan kerajaan perpaduan, saya tidak tahu lagi apa yang dimaksudkannya.

"Jadi saya bersikap terbuka dalam hal ini, terpulang kepada pihak Abdul Hadi untuk menggambarkan apa yang dimaksudkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Abdul Hadi dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di Stadium Malawati, kelmarin, mempertahankan ideanya mengenai pembentukan kerajaan perpaduan melalui kerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO bagi menyelesaikan masalah negara.

Bagaimanapun Presiden Pas itu berkata, gagasan tersebut perlu melalui proses perbincangan secara terperinci oleh pelbagai pihak dan tidak perlu dilaksanakan secara tergopoh-gapah kerana ia suatu yang baru di kalangan rakyat.

Mengenai kesediaan Pas berunding dengan UMNO untuk menjayakan kerajaan perpaduan, Perdana Menteri menjelaskan, beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskannya secara bersendirian.

Katanya, ia merupakan satu perkara yang amat besar dan perlu dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Ini bukan satu keputusan yang saya boleh buat sendiri kerana ia satu keputusan yang amat besar dan mesti diterima oleh pimpinan atasan UMNO dan BN," tegasnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url