Jangka hayat bateri komputer riba Acer lebih lama


Pengkomputeran mobiliti sering dikaitkan dengan sejauh mana keupayaan kuasa bateri sesebuah komputer riba dapat bertahan untuk jangka masa tertentu.

Kebiasaannya, jika pengguna mahukan kuasa yang lebih lama, mereka perlu memilih komputer riba yang berat sebaliknya jika mereka menginginkan sistem yang ringan, keupayaan baterinya pula tidak dapat bertahan lama.

Melihat kepada permasalahan tersebut, syarikat pengeluar produk teknologi maklumat (IT), Acer telah tampil dengan komputer riba Aspire Timeline menerusi tawaran kelebihan sistem yang efisien, ringan iaitu 1.6 kilogram (kg), nipis (24 milimeter) jangka hayat bateri lebih lama serta mesra alam.

Bagi prestasi tanpa kompromi, ia dipacu menggunakan pemproses Ultra Voltan rendah Intel Core 2 Duo untuk fungsi paparan cahaya minimum pada visual yang dapat menjimatkan 33 peratus tenaga elektrik serta menambahkan kuasa bateri sehingga 40 peratus.

Dengan hanya sekali cas, kesemua model Aspire Timeline iaitu 3810T, 4810T dan 5810T mempunyai keupayaan ketahanan bateri selama lapan jam.

Menurut Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Teknologi Maklumat, Acer Incorporation, David Lee, pengenalan pelbagai kelebihan tersebut tentunya bakal memenuhi keperluan pengguna moden kini.

''Pengguna hari ini mahukan komputer riba dengan kos yang efektif selain ringan dan nipis supaya mudah di bawa ke mana-mana,'' katanya pada pelancaran Siri Aspire Timeline di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berbeza dengan komputer riba biasa, Aspire Timeline dilengkapi dengan teknologi penyejukan Intel Laminar Wall Jet untuk tujuan menyejukkan bilah turbin dan seterusnya menyejukkan bahagian luar komputer bagi keselesaan ketika meletakkannya di atas riba.

Kelebihan lainnya, ia turut didatangkan dengan adaptor PowerSmart Acer yang berfungsi menukar mod pengecas bateri mengikut kesesuaian secara automatik serta butang Power Smart Acer untuk menjimatkan tenaga dan memanjangkan jangka hayat bateri.

Untuk sambungan kepada rangkaian Internet pula, kesemua model berkenaan disokong dengan fungsi Wi-Fi, WiMAX serta 3G.

Model 3810T ditawarkan pada harga RM3,299 sementara untuk model 4810T boleh dibeli pada harga RM2,699. Maklumat dan spesifikasi lengkap di laman web www.acer.com.my

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url