Wajarkah burung walit di bandar?


Pengubahsuaian rumah kedai di bandar menjadi rumah untuk burung walit menjanjikan pulangan pendapatan lumayan, bagaimanapun ramai penduduk yang merungut ia menimbulkan gangguan termasuk pencemaran bunyi, bau dan menjejaskan kesihatan.

Tanpa diketahui umum, industri sarang burung walit kini mencecah RM1 bilion setahun selepas migrasi besar-besaran spesies burung itu dari Indonesia, kira-kira 10 tahun lalu.

Jumlah itu dijangka meningkat ekoran permintaan berterusan dari negara China memandangkan sup sarang burung sangat popular dalam kalangan rakyatnya, selain turut menjadi 'pengukur' status individu.

Malaysia merupakan negara pengeluar sarang burung ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Thailand dengan purata lebih 12 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan.

Malah, sarang burung walit atau aerodramus fuciphagus (edible-nest swiftlet dan black-nest swiftlet atau aerodramus maximus yang terdapat di Malaysia adalah yang terbaik dari segi kualitinya.

Isu pelesenan

Namun, beberapa isu timbul sejak kebelakangan ini termasuk masalah perlesenan kira-kira 1,500 rumah burung walit di Sarawak. Masalah itu menjejaskan perkembangan industri yang berpotensi besar ini.

Jika di Semenanjung Malaysia, premis burung walit dibenarkan dibina di rumah kedai dan lot komersial di bandar mengikut syarat tertentu, premis yang sama tidak dibenarkan di kawasan bandar di negeri itu.

Ini kerana Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak tidak membenarkan burung walit diternak di kawasan bandar.

Peraturan Perlindungan Hidupan Liar (Sarang Burung Boleh Dimakan) 1998 dan Peraturan Perlindungan Hidupan Liar 1998 juga menjelaskan bahawa spesies itu hanya boleh diternak di tanah pertanian di kawasan luar bandar, selain habitat asalnya seperti gua.

"Sepatutnya, kerajaan negeri menyokong industri ini dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mewujudkan garis panduan penternakan burung walit," kata Dr. Koh Ung Leong di Sibu baru-baru ini.

Doktor veterinar itu berkata, burung walit mempunyai nilai ekonomi tinggi, meningkatkan nilai hartanah setempat dan menjadi alternatif kepada petani dan nelayan untuk mengusahakannya secara serius.

Tinjauan Bernama mendapati terdapat banyak rumah burung dibina dan rumah kedai diubahsuai menjadi rumah burung di bandar berhampiran pesisir pantai seperti di Mukah, Sibu, Sarikei dan Bintulu.

Sebelum ini, persatuan pedagang sarang burung walit di negeri itu merayu campur tangan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk menyelesaikan masalah tersebut selepas tindakan penguatkuasaan bermula pada Oktober tahun lalu di Mukah.

Sehingga hari ini, daripada lebih 1,500 premis burung walit yang ada, hanya dua premis diberikan lesen oleh pihak berkuasa. Ini bermakna 99.8 peratus rumah burung walit di negeri itu adalah premis haram.

"Kami berharap kerajaan negeri akan menyediakan garis panduan yang sama seperti di Semenanjung. Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu ini," kata Pengerusi Protem Persatuan Perdagangan Sarang Burung Walit Sarikei, Wong Hua Ting.

Dalam isu ini, kerajaan negeri dilihat mempunyai dua pilihan sama ada memusatkan penternakan burung walit ke sesebuah kawasan melalui pembinaan taman eko atau mengadaptasi garis panduan penternakan burung walit.

"Mustahil untuk memindahkan burung-burung ini. Burung walit bukannya seperti ayam atau itik yang boleh kita tangkap dan pindahkan. Burung-burung ini sudah jadikan rumah burung sebagai hotel tempat bersarang," kata pengerusi Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia, Datuk Beh Heng Seong.

Difahamkan sehingga hari ini, belum ada kaedah memindahkan burung walit yang juga spesies yang dilindungi di bawah Akta Hidupan Liar 1972. Ini menjadikan usaha memindahkannya, terutama anak burung, adalah mustahil tanpa risiko 'membunuh' burung itu.

Persoalannya, bagaimanakah kerajaan negeri terutama Jabatan Hutan Sarawak dan Perbadanan Perhutanan Sarawak akan menangani isu ini tanpa mengenepikan kepentingan semua pihak termasuk pemilik rumah burung?

Mengganggu penduduk

Ketua Pengarah Jabatan Hutan Sarawak yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, menegaskan bahawa pembangunan industri ini perlu dilakukan secara sistematik mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Kebanyakan yang minta lesen adalah di bandar yang mengikut definisi undang-undang, mereka tidak layak," kata Len Talif mengenai risiko epidemik seperti selesema burung menyebabkan kenapa kerajaan negeri tidak membenarkan penternakan burung itu di bandar.

Beliau berkata, pihaknya juga menerima aduan daripada orang ramai mengenai masalah bau dan bunyi bising pembesar suara yang dipasang di premis burung itu bertujuan memanggil burung walit singgah bersarang.

Len Talif juga mendakwa pembinaan rumah burung di kawasan bandar turut menjejaskan perniagaan sesetengah pihak terutama mereka yang menjual makanan di restoran atau gerai berdekatan.

"Sepatutnya, pembinaan rumah burung di bandar tidak dibenarkan kerana melanggar undang-undang," katanya sambil menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan membina taman eko dan memberi lesen kepada individu berminat membina rumah burung di tanah pertanian di luar bandar.

Kebanyakan pemilik rumah burung melihat masalah birokrasi memohon lesen melibatkan agensi berkaitan seperti pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan, Sarawak Planning Autority (SPA) dan Perbadanan Perhutanan Sarawak merumitkan keadaan.

Ketiadaan jaminan burung bersarang di taman eko dan premis burung baru juga menyebabkan kenapa mereka mahu kerajaan negeri mengguna pakai garis panduan mengikut Amalan Baik Penternakan Haiwan (GAHP) untuk burung walit, Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

GAHP, yang merupakan antara syarat lesen di Semenanjung, menetapkan spesifikasi tertentu bagi memastikan premis burung walit dibina kondusif dan mesra alam, selain menetapkan had bunyi tidak melebihi 40 desibel dengan corong 60 darjah menghala ke langit bagi mengatasi masalah bunyi.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
1 Comments
  • GEM SDN BHD
    GEM SDN BHD Sabtu, 20 Jun 2009 pada 1:00:00 PG SGT

    Industri Sarang Burung Walit:-
    http://goldenswiftlet.blogspot.com

Add Comment
comment url