Kebakaran hutan di Sumatera meningkat

Bilangan kebakaran hutan di pulau Sumatera, Indonesia telah meningkat dan asapnya ditiup angin ke beberapa kawasan di Malaysia sehingga menyebabkan berlaku jerebu yang menjejaskan penglihatan.

Seorang pegawai Indonesia hari ini berkata, 47 titik panas dikesan di wilayah Riau, Sumatera semalam berdasarkan pemantauan dengan satelit, dan suhu mencecah paras yang luar biasa setinggi 35 darjah Celsius.

"Bilangan titik panas yang menandakan kebakaran berpotensi meningkat lagi dan keadaan jerebu bertambah buruk jika tidak ada hujan," kata ketua agensi meteorologi, klimatologi dan geofizik di ibu kota Riau, Pekanbaru, Blucer Dolok Saribu.

Jerebu dijangka berterusan sehingga Ogos kerana musim hujan selalunya bermula pada September.

Penganalisis meteorologi di Pekanbaru, Rahmad Tauladani berkata, jerebu telah dibawa angin ke Malaysia tetapi setakat ini tiada penerbangan dibatalkan kerana jarak penglihatan sejauh 6,000 meter masih di atas paras minimum 1,000 meter bagi membolehkan penerbangan.

Beliau memberi amaran, cuaca panas sekarang meningkatkan risiko kebakaran boleh merebak ke kawasan tanah gambut.

Di Malaysia, jerebu mengurangkan jarak penglihatan di beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur kepada serendah 5,000 meter, lapor Jabatan Alam Sekitar (DOE).

Didorong oleh jerebu teruk yang merebak ke Singapura, Malaysia dan selatan Thailand pada 1997-98, negara-negara ASEAN menandatangani Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2002, tetapi Indonesia belum mengesahkan perjanjian itu secara rasmi.

Jakarta telah mengenal pasti perjanjian itu sebagai salah satu daripada enam rang undang-undang 'penting' yang perlu diluluskan sebelum sidang Parlimen sekarang berakhir pada akhir September ini.

Namun, memandangkan ahli politik sibuk berkempen untuk pilihan raya Presiden pada 8 Julai ini, tidak jelas sama ada rang undang-undang berkenaan sempat diluluskan oleh sidang Parlimen sekarang.

Perjanjian tersebut menghendaki negara-negara peserta bekerjasama untuk memantau dan memerangi jerebu.

- REUTERS
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url