Kad kredit semakin popular
Daripada sejumlah 2,226 orang yang dikaji selidik dari 11 negara dan wilayah di Asia Pasifik, hampir separuh atau 45 peratus berkata, mereka memilih untuk membayar terutamanya dengan kad pembayaran elektronik semasa berada di luar negara, kata Visa.
Visa yang mengumumkan keputusan kaji selidik itu berkata, meskipun menggunakan tunai (55 peratus) masih lagi popular, alasan utama 45 peratus responden berkata mereka memilih menggunakan kad pembayaran kerana ia membantu meminimumkan risiko peribadi.
Kaji selidik itu juga mendapati jurang antara jantina - lelaki (49 peratus) lebih cenderung menggunakan kad untuk membayar pembelian di luar negara berbanding wanita (39 peratus).
Dalam kaji selidik itu, responden, dari Australia, New Zealand, Korea, Jepun, India, Singapura, Malaysia, Thailand, China, Hong Kong dan Taiwan ditemu bual selepas mereka tiba dan sebelum berlepas di Lapangan Terbang Changi Singapura, baru-baru ini.
Ketua Produk Debit Visa Regional Brian McGrory berkata: "Terdapat kecenderungan di seluruh dunia yang menyaksikan orang ramai lebih memilih pembayaran mereka menggunakan kad berbanding tunai dan cek."
Meskipun kaji selidik itu menunjukkan tunai merupakan kaedah pembayaran paling biasa bagi kebanyakan pelancong dan pengembara, penerimaan kaedah elektronik yang semakin meluas menjadikan ini pilihan bagi urus niaga luar negara yang terjamin, katanya.
Kaji selidik itu juga menunjukkan keseluruhannya, pelancong perniagaan cenderung menggunakan kad semasa berada di luar negara (59 peratus) berbanding pelancong liburan (41 peratus).
- BERNAMA