Kejutan foto 35 tahun


Gambar Allahyarham Tun Abdul Razak menandatangani satu pernyataan di China 35 tahun lalu, menjadi kejutan buat Najib dan keluarga sebagai tanda ingatan daripada kerajaan negara itu.

Lawatan empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bermula 2 Jun lalu ternyata lebih daripada sekadar lawatan rasmi mengeratkan hubungan dan dagangan dua negara.

Beliau sendiri menyifatkan terdapat banyak kenangan manis bersifat peribadi dalam lawatannya ke China yang berakhir semalam. Ini termasuklah penyerahan sekeping gambar lama ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak, kepada beliau dan keluarga.

Foto kenangan itu disampaikan Perdana Menteri China Wen Jiabao di The Great Hall of the People di Tiananmen Square.

Najib menjelaskan penyampaian gambar yang menunjukkan allahyarham ayahandanya sedang menandatangani satu pernyataan bersama dengan Perdana Menteri China ketika itu, Zhaou Enlai merupakan satu kejutan kepada beliau dan keluarganya.

Malah, Duta Malaysia ke China, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman, sendiri tidak mengetahui mengenai kejutan itu.

Bercakap kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang, Najib berkata beliau mendapat tahu bahawa Wen telah mengarahkan sebuah pertubuhan berita supaya mencari gambar tersebut yang dirakamkan pada satu pertemuan yang dianggap bersejarah.

Pada mulanya, pegawai-pegawai pertubuhan berita itu menyatakan mereka tidak menjumpai gambar berkenaan.

"Tetapi beliau (Wen) berkata, 'Pergi cari lagi' dan itu merupakan satu arahan tegas. Sudah pastilah, apabila seorang Perdana Menteri China menyuruh buat kali kedua, maka arahan itu mestilah dilaksanakan," kata Najib, sambil menjelaskan bahawa gambar yang dicari-cari itu akhirnya ditemui di arkib.

Perdana Menteri berkata Wen membuat keputusan untuk menyampaikan gambar itu kepada beliau dan keluarga di The Great Hall of the People kerana ia merupakan tempat yang sama pernyataan itu ditandatangani 35 tahun lepas.

Pihak berkuasa China juga melakukan satu perkara luar daripada kebiasaan dengan membenarkan ucapan dibuat di dewan itu pada Rabu lepas, selain membenarkan empat Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan China ditandatangani di situ.

"Biasanya mereka tidak benarkan The Great Hall of the People digunakan bagi upacara menandatangani perjanjian tetapi mereka telah gunakannya (pada 1974 dan 2009) kerana mereka mahu melambangkannya sebagai satu lawatan bersejarah," kata Najib yang menjelaskan bahawa terdapat beberapa tindakan mesra lain yang dilakukan di luar amalan protokol semasa lawatannya itu.

"Ini adalah satu bukti sentimen istimewa yang mereka ada terhadap Malaysia kerana kita adalah negara pertama dalam ASEAN yang mengiktiraf mereka," kata Perdana Menteri.


Apabila ditanya mengapa beliau membawa bersama bondanya, Tun Rahah Mohamed Noah ke Beijing kali ini, Najib berkata lawatan itu juga mempunyai unsur kekeluargaan serta sentimen untuk menyambut ulang tahun ke-35 wujudnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu dari sebuah kerajaan yang menghargai budi Allahyarham Tun Abdul Razak.

"Mereka tidak pernah lupa peranan keluarga ayahanda atau bonda saya. Sebab itulah, tiap-tiap Duta China (ke Malaysia) akan menjemput bonda saya ke rumah mereka atau (duta) membuat kunjungan kehormat walaupun, allahyarham ayahanda tidak ada lagi.

"Ini tak dibuat oleh mana-mana negara yang lain kecuali China. Inilah satu perkara yang unik bagi rakyat China. Mereka tidak akan lupa jasa yang baik," katanya.

Najib berkata lawatan kali ini membawa pengertian sangat bermakna dan mendalam.

Antara sebabnya adalah kerana ini merupakan lawatan rasmi beliau ke negara luar Asean sejak mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri pada 3 April lalu.

Bagaimanapun, Najib menambah apa yang penting dalam lawatan itu bukan daripada perspektif sejarah semata-mata tetapi untuk melihat ke hadapan, terutamanya dalam usaha membawa hubungan dua hala ini ke tahap dan peringkat yang jauh lebih tinggi.

Sambil melahirkan rasa optimis mengenai hubungan Malaysia dan China pada masa akan datang, Najib menjelaskan ia akan menggalakkan perkembangan hubungan dua hala dengan lebih pesat.

"Saya telah mengatakan lawatan saya bukanlah untuk menjejaki langkah-langkah yang dibuat oleh allahyarham ayahanda saya tetapi sebaliknya adalah untuk bergerak dengan lebih pantas dan jauh ke hadapan sebab negara China sudahpun membangun dengan begitu pesat," ujarnya.

Najib juga berharap kedua-dua anaknya, Nooryana Najwa dan Nor Ashman yang turut serta dalam lawatan itu, akan lebih memahami negara China.

Mengenai reaksi Nor Ashman, yang sedang mengikuti pengajian Mandarin di Georgetown University di Washington DC kepada cadangan beliau agar belajar selama satu atau dua bulan di Beijing Foreign Studies University, Perdana Menteri berkata Nor Ashman sedang menimbangnya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url