Kita bakal 'mabuk' TV

Era pendigitalan siaran televisyen menyaksikan rakyat Malaysia dijangka menonton tambahan 20 saluran baru RTM.

Tengah malam 1 Jun lalu, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi menjenamakan semua stesen radionya dengan tambahan perkataan Radio Malaysia. Perubahan dibuat tanpa sebarang publisiti malah secara mengejut.

Namun bagi pendengar setia tujuh stesen kebangsaan dan 27 stesen tempatan RTM di seluruh negara, mereka mungkin terpinga-pinga. Tarikh itu menyaksikan juruhebah RTM mula merujuk nama stesen sebagai ‘Inilah Radio Malaysia’.

Rombakan itu bukan sekadar mengembalikan era emas siaran RTM yang bermula sejak 1946. Bahkan secara tidak langsung menanda bermulanya count down atau hitung detik kepada zaman pendigitalan RTM.

“Ia sudah bermula pada 2006 melalui siaran percubaan di Lembah Klang dan hasilnya amat memberangsangkan. Ramai memuji siaran digital RTM yang nyata terlalu bagus,” kata pakar teknologi komunikasi maklumat, Azli Paat.

Ketua Pegawai Eksekutif Dapat Vista Sdn. Bhd. itu yang merintis sistem mesej singkat popular DAPAT 32728 itu menambah, melalui proses pendigitalan RTM, stesen itu bakal memiliki sejumlah 20 saluran televisyen baru menjelang 2012.

Antara saluran itu, Muzik Aktif sudah dapat ditonton sejak 16 Mac lalu menerusi Astro saluran 180. Menyusul selepas itu ialah saluran RTMi, Arena, CY, Harmoni dan Bestari sekali gus menyaksikan kandungan TV1 dan TV2 bakal dikemas kini.

“Melalui projek pendigitalan RTM, penonton dapat mengikuti siaran setempat kerana jalur spektrum frekuensi adalah lebih pelbagai. Ini membolehkan banyak saluran pada satu julat frekuensi,” jelas Azli.

Difahamkan setakat ini RTM sudah merancang mewujudkan TV Sarawak, TV Sabah dan TV Johor. Ini diikuti TV khas wilayah Utara, Timur dan Tengah yang berdasarkan format stesen radio tempatan RTM.

Menerusi projek itu, lebih 53,000 peluang kerja bakal ditawarkan terutama berkaitan kandungan siaran. Ini bagi mengisi lebih 175,000 jam siaran setahun meliputi berita, dokumentari, drama, hiburan dan sebagainya.

Ironi, tidak ramai tahu bahawa negara kita sedang menuju ke arah pendigitalan sepenuhnya pada 2015 serentak dengan semua 10 buah negara Asia Tenggara. Ini bermakna setiap siaran TV percuma tidak lagi dipancarkan secara analog.

“Mulai tahun itu, tiada lagi set TV analog dijual di pasaran, mengulangi zaman TV hitam putih kepada TV warna pada akhir 1970-an. Untuk set TV sedia ada, pengguna perlu ada kotak set digital seperti Astro,” tambah Azli.

Hakikatnya, transformasi kepada siaran digital bakal menjadikan rakyat kita ‘mabuk’ televisyen kerana dapat menonton puluhan saluran secara percuma. Bayangkan enam saluran pada masa kini pun sudah mencetuskan budaya ‘penagih TV’.

Namun, menurut Azli, masih terlalu awal membuat tanggapan sedemikian berdasarkan contoh Astro. Stesen satelit berbayar yang dilancarkan pada 1996 dengan lebih 80 saluran itu tidak memberi impak besar buat dua juta pelanggannya.


Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah secara drastik memandangkan 20 saluran digital RTM itu dipancarkan percuma. Malah sistem DVB-T untuk siaran digital RTM juga lebih canggih dan tidak terjejas waima ketika cuaca buruk.

Bagi yang pernah menonton siaran digital RTM melalui saluran 44 UHF modulat pada 64QAM di Lembah Klang, pasti mereka tidak percaya itu ialah siaran RTM. Mutu visual dan audio amat jelas malah programnya lebih baik daripada stesen TV swasta sendiri.

Pada realitinya, sama ada suka atau tidak, Malaysia bakal melangkah ke era TV digital dan tidak boleh ketinggalan. Bermula di Britain pada 1998 lalu, sebahagian besar negara di dunia telah beralih kepada sistem digital daripada analog.

Terbaru di Amerika Syarikat sendiri mulai awal Mac lalu. Di benua Asia, China, misalnya, sudah melaksanakan sistem digital sejak Sukan Olimpik 2008. Beberapa negara menjadikan 2015 sebagai tahun akhir ‘berkuburnya’ era analog.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Ili Saharudin
    Ili Saharudin Selasa, 9 Jun 2009 pada 9:09:00 PTG SGT

    tumpang lalu..seperkara yang saya kurang fahami.
    untuk seketika waktu saya perasan di laman web rtm di bahagian career @ rtm--Not available for this moments. memandang saya sendiri kerja dalam bidang ini, saya ragu rtm sebenarnya betul2 ke tambah pekerjanya. kerana kebanyakkan pekerjanya kini adalah berstatuskan kontrak dan kemungkinan besar digugurkan.. dan lagi kenapa perlu ambil pekerja yang bukan berkelayakan sewaktu dengannya..maksud saya berkelulusan dalam bidang media juga. ini hanya berkongsi pendapat

Add Comment
comment url