Komentar - Kenapa perlu mencela ulama?

Krisis politik yang berlaku di negara ini turut menjebakkan para ulama di dalam konflik. Apa yang malangnya, jika mereka membuat kenyataan bertentangan dengan kehendak sesuatu puak, maka mereka akan dikecam.

Itulah yang terjadi sejak kebelakangan ini, apabila ada tokoh-tokoh agama yang dikritik oleh pihak tertentu hanya semata-mata kerana menyatakan kebenaran.

Salah seorang yang menjadi mangsa kecaman ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang dilabel macam-macam oleh penyokong-penyokong Pas apabila beliau membuat kenyataan melahirkan kekesalan terhadap kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan.

Ia bukanlah kali pertama, beliau menerima nasib berkenaan, malah ketika krisis politik Perak sedang memuncak, Harussani telah dituduh menjadi ejen UMNO, apabila enggan menurut kehendak mereka supaya menghadap Sultan Perak bagi menasihatkan baginda membubarkan Dewan Undangan Negeri.

Persoalannya wajarkah para alim ulama seperti Harussani diseret sama ke dalam konflik politik yang berlaku? Apakah kerana seseorang ulama itu tidak mahu membuat kenyataan atau tindakan selari dengan kepentingan politik mana-mana pihak, maka beliau harus dikecam?

Adalah jelas, kemelut politik yang terjadi menyebabkan sesetengah pihak terutamanya penyokong parti tertentu sudah tidak tahu menghormati golongan ulama di negara ini. Bagi mereka, ulama-ulama lain tidak berhak bercakap apatah lagi dipatuhi nasihat mereka kecuali jika ia datang daripada ulama dalam parti mereka sahaja. Kalau ulama lain bercakap, kalau pun ia benar mereka sengaja tidak mempedulikannya. Tetapi kalau ulama mereka bercakap, biarpun ia bercanggah dengan Islam, mereka akan menerimanya bulat-bulat.

Mereka gembira kalau di mimbar-mimbar masjid ada khutbah Jumaat yang berbaur politik menghentam pihak kerajaan. Walaupun hakikatnya, mereka ke masjid adalah untuk beribadat dan masjid menjadi tempat menyatukan ummah tetapi mereka berasa puas hati.

Ketaksuban dalam politik telah menyebabkan mereka leka untuk melihat kepentingan perpaduan di kalangan umat Islam. Kalau boleh mereka ingin berpolitik sepanjang masa.

Sebenarnya, mana-mana juga pihak tidak harus mempertikaikan sebarang kenyataan para ulama yang bertujuan menyatukan umat Islam. Para ulama sepatutnya menjadi tempat rujukan, apabila kita tidak mampu menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Parah

Begitu jugalah dalam soal perpaduan umat Islam di negara ini yang kini semakin parah berikutan penentangan politik. Golongan ulama seharusnya dijadikan orang tengah bagi membolehkan penyelesaian dicapai demi masa depan umat Islam.

Di dalam masyarakat Islam, peranan ulama adalah luas dan merupakan orang yang bertanggungjawab membawa umat Islam dan negara ke destinasi yang diredai oleh Allah. Atas sebab itulah, golongan berkenaan sudah diperingatkan bahawa mereka mestilah ikhlas, amanah dan berani berhadapan dengan penentangan pendapat.

Justeru apabila Harussani memberikan pandangan beliau dalam soal penyatuan dan perpaduan umat Islam, ia dilakukan demi kebaikan dan bukannya bertujuan politik bagi menyebelahi mana-mana pihak. Oleh itu tidak wajar jika ada kelompok yang cuba menjadi parasit dengan meracuni pemikiran rakyat terutamanya orang Melayu melalui blog-blog, kononnya ulama itu atau mufti ini sudah menjadi penyokong sesebuah parti.

Harussani hanya bersuara demi kebenaran, begitu jugalah dengan beberapa ulama lain. Seharusnya mereka dihargai kerana bersedia hadir di tengah-tengah kekalutan yang berlaku bagi menunjukkan jalan penyelesaian.

Tetapi malangnya, acap kali mereka akan disanggah hanya semata-mata membuat teguran yang berasaskan kepada ajaran Islam. Kepada kelompok yang semakin taksub berpolitik ini, mereka harus sedar bahawa sekuat manapun parti mereka sekarang, ia tidak bermakna mereka boleh memperlecehkan mana-mana pihak yang bertentangan dengan mereka terutamanya ulama.

Sebagai orang Islam mereka seharusnya memahami di mana kedudukan ulama itu. Islam menganjurkan kita berhujah secara sopan dan ilmiah, bukannya melalui serangan balas di pentas-pentas politik.

Perbuatan itu tidak membawa apa-apa faedah kepada umat Islam sebaliknya ia hanya akan menyebabkan mereka berada dalam golongan yang kerugian. Mahu tidak mahu, kita perlu merujuk kepada golongan ulama dan meminta pertolongan mereka.

Atas sebab itulah kita harus mengelakkan diri daripada mencela ulama sesuka hati. Kita berhak memberi pandangan tetapi bukanlah dengan cara menggunakan bahasa yang kasar dan terkeluar daripada peradaban serta tata susila Islam. Kita percaya, golongan ulama di negara ini bersikap terbuka dan bersedia bersemuka dengan sesiapa sahaja. Oleh itu janganlah kerana terlalu melihat segala-galanya melalui sudut politik, maka kita menolak hujah kebenaran yang dilahirkan oleh orang lain.

Umat Islam tidak mendapat apa-apa kalau mereka terus meminggirkan pandangan ulama, justeru jadikanlah golongan itu sebagai sahabat, bukannya musuh.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url