Negara kurang guru?
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.
Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.
Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?
Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan.
Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.
"Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini.
"Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.
Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, ia sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.
Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan.
"Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan.
"Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas.
"Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.
Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan.
"Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah.
"Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.
Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali.
Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.
Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus.
"Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus.
"Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.
Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan.
"Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya.
Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.
Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.
- HARIAN METRO