Orang politik tempat luah kemarahan rakyat

Ahli politik boleh diumpamakan sebagai tong sampah yang menerima segala luahan dan masalah rakyat, termasuk celaan dilemparkan mereka apabila tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan agensi kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata apa yang menyedihkan dan membimbangkan, ketidakpuasan hati akibat perkhidmatan segelintir kakitangan awam tidak memuaskan akan diterjemahkan ke peti undi setiap kali pilihan raya umum.

Beliau berkata, segala kelemahan yang ditunjukkan oleh kakitangan dan pekerja kerajaan terutama dalam menguruskan hal berkaitan rakyat akan terpalit kepada kerajaan terutama apabila setiap masalah yang timbul membangkitkan kemarahan mereka.

"Orang politik ini macam tong sampah.. kegagalan pegawai kerajaan menjalankan tugas dengan baik akan menimbulkan kemarahan rakyat dan mereka akan balas dendam di peti undi. Mereka tidak menyatakan kemarahan itu secara terus, tetapi mereka tunjuk pada pilihan raya.

"Sebagai orang politik, apa juga masalah berbangkit akan terpalit pada parti pemerintah. Apa saja masalah yang timbul, akhirnya orang politik yang jadi mangsa," katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) di Wisma Darul Iman, semalam.

Beliau berkata, walau apa juga perlakuan atau pendekatan yang diambil terhadap sesuatu perkara, hati dan perasaan rakyat harus dijaga sebaik mungkin sekali pun terpaksa mengorbankan kepentingan diri sendiri kerana ia kunci utama dalam mengekalkan sokongan rakyat kepada kerajaan pemerintah.

"Walau apa juga tindakan kita, hati dan perasaan rakyat penting dan ia harus dijaga sebab mereka berada di kedudukan depan seiring dengan matlamat merakyatkan pembangunan," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua penjawat awam di negeri ini termasuk kakitangan APMT perlu menunaikan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin sekali gus memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

"Kita memang macam tong sampah, setiap yang tidak disukai rakyat akan dilemparkan kepada ahli politik dan oleh itu kita jangan bersikap sombong dan angkuh, harus sedar diri dalam berkhidmat kepada rakyat.

"Tidak ada gunanya kita laksanakan pelbagai projek pembangunan tapi rakyat tidak dapat sebarang faedah kerana akhirnya kita (Barisan Nasional) yang akan ditolak," katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url