PAS wajar pimpin pakatan pembangkang?

Persidangan Dewan Pemuda Pas yang dijadual diadakan tiga hari lagi dijangka hangat dengan fokus untuk meletakkan Pas pada kedudukan sewajarnya iaitu sebagai parti pemimpin pakatan pembangkang.

Ketuanya yang baru, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, pada usianya menjangkau 58 tahun, ramai di kalangan perwakilan Pemuda yakin kemampuan Pas untuk memimpin pakatan pembangkang terutama dalam menghadapi pelbagai isu yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, apa yang lebih penting Pas harus meyakinkan parti-parti pembangkang lain bahawa Islam yang menjadi teras perjuangan parti itu merupakan kaedah paling berkesan untuk menyelesaikan setiap isu.

''Sudah tiba masanya Pas diberi tanggungjawab sebagai pemimpin pakatan pembangkang dalam menghadapi pelbagai isu yang berlaku di negara ini khususnya kemelut politik tanah air. Banyak faktor mengapa kita mahu Pas harus diberikan kedudukan ini.

''Selain pengalaman, Islam yang menjadi teras perjuangan parti menjadi kelebihan kepada Pas untuk diberikan peranan ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jangkaan isu yang akan dibincangkan pada Persidangan Dewan Pemuda Pas sempena Muktamar Pas kali ke-55.

Persidangan itu bakal dihadiri oleh 210 perwakilan dari seluruh negara dan majlis perasmiannya pada malam esok dijangka dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa

Nasrudin berkata, Islam yang tegak atas syariat Allah yang kemudiannya dibawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW telah menggariskan keperluan hidup manusia secara keseluruhan.

Beliau berkata, isu lain yang dijangka turut disentuh ialah mengenai cara perjuangan Pas perlu didasari dengan teras Islam dan bukannya mengikut acuan pihak lain.

Ujarnya, Pas mempunyai identitinya tersendiri iaitu mengikut acuan Islam dan imej tersebut telah pun dibentuk sebaik sahaja ia ditubuhkan lebih 50 tahun yang lalu.

Katanya, identiti dan imej itu wajib dipertahankan dan tidak sepatutnya perkara tersebut diketepikan.

''Bagi saya Pas harus konsisten ketika membicarakan isu-isu yang timbul iaitu dengan mengikut teras perjuangan parti iaitu Islam. Kita tidak harus mengikut orang lain,'' katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Pemuda menghormati rakan-rakan pembangkang lain dan menganggap mereka telah memberi saingan yang sihat ke atas perkembangan Pas sebagai parti politik.

Ditanya mengenai timbul persepsi bahawa beliau dikatakan akan membawa pendekatan ekstrem dalam parti itu, beliau menjelaskan, isu tersebut tidak seharusnya timbul.

''Mereka menilai saya melalui pakaian saya yang dikatakan agak konservatif. Saya berpakaian begini sebab ini merupakan pakaian saya dan ia juga sesuai dengan tanggungjawab sebagai pemimpin gerakan Islam.

''Saya tidak ada kuasa untuk menahan mereka bercakap tentang saya tetapi saya harus diberi peluang untuk membuktikan bahawa saya tidak seperti yang mereka gambarkan,'' ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url