Top Ad 728x90

,

Pelajar baru IPTA wajib jalani saringan H1N1

Beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mewajibkan ujian saringan selesema babi (H1N1) kepada pelajar baru ketika sesi pendaftaran bagi memastikan wabak itu tidak merebak di kalangan warga kampus.

Universiti terbabit turut menubuhkan jawatankuasa bertindak, menyediakan bilik operasi dan kuarantin, pasukan perubatan dan menangguhkan perhimpunan amanat Naib Canselor serta ikrar pelajar.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, berkata pihaknya menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak sejak 23 Mei lalu bagi memantau penularan virus itu di semua cawangannya di seluruh negara.

“Semua pegawai perubatan juga diarahkan sentiasa bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan jika berlaku sebarang penularan di universiti itu. Namun, setakat hari pendaftaran hari ini (semalam), tiada pelajar yang didapati demam atau mempunyai tanda dijangkiti H1N1 atau menangguhkan pendaftaran masuk ke UiTM disebabkan virus itu,” katanya ketika dihubungi.

Timbalan Pengarah Hubungan Korporat Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Siti Aishah Hashim Ali berkata, semua pelajar baru akan menjalani saringan kesihatan terutama yang pernah melawat negara dijangkiti H1N1.

“Bagi pelajar luar negara, kita akan mengasingkan mereka di tiga kolej iaitu International House, Kolej Kediaman Ungku Aziz dan kediaman staf yang dikenal pasti selama seminggu walaupun mereka melepasi saringan kesihatan di lapangan terbang.

“Selain itu, pihak universiti juga mengambil langkah meminimumkan sebarang perhimpunan malah amanat Naib Canselor serta ikrar pelajar yang sebelum ini diadakan di dalam dewan ditangguhkan sehingga Sabtu depan.

“Dalam tempoh seminggu ini juga, pelajar baru perlu berada di dalam kolej dan hanya ketua fakulti atau pensyarah yang bergerak menemui mereka untuk memberi taklimat kursus,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Perhubungan Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Omar Osman, berkata universiti itu juga menjalankan saringan terhadap kira-kira 3,000 pelajar baru yang mendaftar semalam selari dengan arahan Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, sebagai langkah tambahan pihaknya juga menempatkan pegawai perubatan di tempat pendaftaran untuk menjalankan pemeriksaan terhadap pelajar.

Di KUCHING, kira-kira 2,400 pelajar baru, termasuk 10 pelajar antarabangsa yang mendaftar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di Kota Samarahan, dekat sini, semalam, mengisi borang pengisytiharan kesihatan bagi mengelak penularan wabak H1N1.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90