Pemuda PAS sokong gabungan ulama, profesional


Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub menyeru kepada Pemuda agar terus memberi sokongan kepadan ulama, profesional dan aktivis untuk terus memimpin dan memperkuatkan parti tersebut.

"Saya tegaskan, tiga komponen ini harus bersatu - ulama, profesional dan aktivis PAS.

"Sekiranya ketiga-tiga ini bersatu, ulama terus memimpin PAS. (Bagi) profesional dan aktivis, jika patah salah satunya, maka akan runtuhlah PAS," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar terakhirnya sebagai ketua dewan tersebut yang disandangnya sejak tahun 2003 di Markaz Tarbiah PAS, Taman Melewar, malam tadi.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian, pada masa yang sama, menyeru Pemuda PAS agar tidak melupai jasa aktivis PAS yang menjadi paksi kekuatan perjuangan parti tersebut semenjak PAS ditubuhkan pada tahun 1951.

"Mereka ini adalah golongan yang hanya mahu PAS menang, Islam menang. Itulah saja cita-cita mereka," katanya.

Menurutnya, sejarah membuktikan bahawa kerjasama yang rapat dan padu antara ulama dan profesional telah wujud semenjak awal penubuhan parti tersebut.

Tiang seri perjuangan

"Kemunculan tokoh-tokoh profesional yang mendukung kepimpinan ulama dalam PAS pada era 1950-an seperti Dr Haji Abbas Alias dan Dr Pandak Ahmad Alang Samin (doktor perubatan).... membuktikan golongan profesional tidak pernah terpinggir, bahkan memainkan peranan besar dalam mendukung kepimpinan ulamak," katanya.

Oleh itu, Salahuddin menyifatkan golongan profesional sebagai tiang seri perjuangan manakala aktivis pula dianggap sebagai sebagai paksi kekuatan perjuangan PAS sekaligus memperlengkapkan gandingan mantap dan utuh bersama dengan para ulamak.

Dalam ucapan itu juga Salahuddin turut merumuskan dua pencapaian terbesar yang dicapai oleh dewan tersebut sejak beliau memimpin Pemuda PAS itu.

"Pertama, kita telah berjaya menganjakkan pendekatan politik bangkangan konfrontasi kepada politik bangkangan konstruktif," katanya.

Menurut Salahuddin pendekatan tersebut meliputi cara "bersama-sama dengan kerajaan dalam perkara-perkara yang melibatkan kepentingan negara dan menyalurkan kritikan dan cadangan yang konstruktif dalam menangani masalah pentadbiran negara.

"Kedua, dengan pendekatan-pendekatan baru itu, serta pendidikan politik yang lebih bersungguh-sungguh dan gerakan penerangan yang lebih meluas, Pemuda PAS telah berjaya melakarkan imej baru bagi PAS sebagai parti kepercayaan rakyat untuk menggantikan Umno," katanya.

Kewibawaan sebenar

Dalam ucapannya, Salahuddin juga turut menyentuh gaya kepimpinan Pemuda PAS dengan bersiap sedia dan meningkatkan keupayaan mereka dalam mendepani era politik Malaysia yang telah berubah.

Katanya, pada waktu ini, PAS dilihat sebagai parti yang dilihat sebagai 'bakal kerajaan' atau "sekurang-kurangnya rakyat sudah mulai menerima bahawa PAS adalah kerajaan di beberapa buah negeri".

"Tetapi, dalam banyak situasi rakyat belum percaya bahawa PAS boleh memimpin dan mengetuai urusan pentadbiran masyarakat, khususnya memerintah negara.

"Mereka tahu pemimpin PAS tidak merasuah, tidak menyelewengkan kuasa atau menyalahgunakan kuasa atau menyalahgunakan hakl rakyat, tetapi keyakinan mereka terhadap kebolehan PAS untuk mengendali urusan rakyat masih begitu rendah," kata Salahuddin.

Ini kerana katanya, mungkin disebabkan oleh momokan Umno dan BN dan mungkin juga kerana PAS memperlihatkan kewibawaan yang sebenar.

Dalam ucapan selama kira-kira 55 minit itu, Salahuddin turut menasihatkan Pemuda agar sentiasa memanfaatkan perubahan politik yang berlaku lebih-lebih lagi dengan penerimaan kaum bukan Islam kepada parti tersebut.

PAS diterima bukan Islam

"PAS suatu masa dahulu telah dimomokkan oleh Umno, sebagai sebuah parti 'pak lebai' yang jumud, taksub, ekstrim dan bersikap keras terhadap bukan Islam.

"Alhamdulillah, pada hari ini hasil daripada penerangan dan dakwah yang berterusan, bertunjangkan nilai-nilai sejagat ... PAS mula diterima oleh orang bukan Islam dengan begitu menggalakkan sekali," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan bahawa sudah sampai masanya, PAS mewujudkan keahlian baru dalam PAS untuk bukan Islam untuk membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada organisasi tersebut.

Menyentuh mengenai bagaimana pendekatan Pemuda PAS untuk mendekati dan seterusnya mendapat sokongan dari golongan muda, Salahuddin mencadangkan cara baru dengan untuk mendekati golongan tersebut.

"Dewan Pemuda PAS, mesti melihat bagaimana caranya kita dapat menggembleng media baru yang lebih interaktif hari ini dalam menarik minat dan sokongan golongan muda.

"Saluran-saluran interaktif di atas talian seperti blog, facebook, yahoo messenger, SMS, dan seumpamanya mesti dimanfaatkan supaya ruang dakwah kita terbuka dengan seluas-luasnya meliputi seluruh ruang alam yang ada," katanya.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url