Petronas untung RM89b (Mac 2009)

Keuntungan sebelum cukai syarikat minyak negara, Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) menyusut sebanyak 6.7 peratus kepada RM89.1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009 berbanding RM95.5 bilion tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan bersihnya juga jatuh sebanyak 13.9 peratus kepada RM52.5 bilion berbanding RM61 bilion meskipun jumlah pendapatan yang direkodkan pada tempoh itu adalah yang tertinggi iaitu RM264.2 bilion iaitu kenaikan sebanyak 18.4 peratus.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, sungguhpun keuntungan sebelum cukai terjejas tetapi masih positif kerana ia selari dengan prestasi syarikat-syarikat minyak dan gas utama yang turut menyaksikan penurunan antara 6.4 peratus dan 25.7 peratus.

‘‘Penurunan keuntungan sebelum cukai yang dicatatkan itu adalah disebabkan oleh kos pengeluaran dan operasi yang tinggi.

‘‘Meskipun begitu, pulangan pendapatan Petronas masih kekal tertinggi dalam industri iaitu 33 peratus berbanding purata pulangan pendapatan sebanyak 17.7 peratus yang direkodkan oleh syarikat-syarikat minyak dan gas di dunia,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, sejumlah 42.1 peratus pendapatannya disumbangkan daripada operasi antarabangsa, 37.2 peratus melalui eksport dan 20.7 peratus lagi menerusi operasi domestik.

Beliau menegaskan, walaupun keuntungan Petronas berkurangan tetapi firma minyak kebangsaan itu masih mengekalkan bayaran tinggi kepada kerajaan membabitkan cukai pendapatan petroleum, cukai pendapatan korporat, duti-duti eksport dan royalti.

Jelas beliau, sepanjang tempoh kewangan itu, Kumpulan Petronas telah membayar sejumlah RM74 bilion kepada kerajaan, sekali gus menjadikan keseluruhan bayaran kepada kerajaan sebanyak RM471.3 bilion sejak ia diperbadankan pada 1974.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM67.8 bilion telah dibayar kepada Kerajaan Persekutuan termasuk dividen sebanyak RM30 bilion, kenaikan 25 peratus daripada tahun sebelumnya.

Ditanya sama ada terdapat polisi tertentu oleh kerajaan supaya Petronas meningkatkan bayaran dividen, beliau berkata: ‘‘Tidak ada’’.

Selain itu cukai pendapatan petroleum RM20.3 bilion, cukai pendapatan korporat RM9.1 bilion, duti-duti eksport RM2.2 bilion dan RM6.2 bilion pembayaran royalti.

Baki RM6.2 bilion lagi untuk pembayaran royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu sebanyak RM3 bilion, Sarawak RM2.3 bilion dan Sabah RM900 juta.

Dalam tempoh kewangan itu, jumlah subsidi gas oleh Petronas jatuh kepada RM19.5 bilion berbanding RM19.7 bilion ekoran kenaikan dalam harga domestik.

Mohd. Hassan berkata, pendapatan kukuh yang diperoleh pada tahun kewangan itu disokong oleh peningkatan volum jualan sebanyak RM10.5 bilion, mewakili kenaikan sebanyak 25.5 peratus dan kenaikan harga gas asli cecair telah meningkatkan pendapatan sebanyak RM14 bilion atau 34.1 peratus.

Produk petroleum kekal penjana utama bagi kumpulan dengan pendapatan jualan sebanyak RM91.7 bilion, mewakili satu pertiga daripada pendapatan kumpulan.

Beliau berkata, syarikat itu menjual minyak mentah pada harga AS$88 (RM308) setong pada tahun fiskal 2009 berbanding AS$86.81 (RM303.8) setong.

Harga dagangan minyak mentah negara kini dijual pada sekitar AS$50 (RM175) setong.

Jelas beliau, Petronas juga mendapat faedah daripada kenaikan sebanyak 36 peratus harga LNG iaitu daripada AS$415.07 (RM1,452.7) setan kepada AS$564.37 (RM1,975.3) setan.

Tambahnya, meskipun industri petrokimia mudah meruap, kumpulan masih berupaya mengekalkan pengeluaran dan jualan produk petrokimia kepada 5.8 juta tan dan meraih pendapatan jualan sebanyak RM13.1 bilion.

Pada sidang akhbar itu, Mohd. Hassan berkata, bagi tempoh kewangan tahun tersebut, Petronas telah meningkatkan perbelanjaan modal daripada RM37.6 bilion kepada RM44 bilion, kenaikan 17 peratus.

Daripada peruntukan itu, sebanyak RM26.2 bilion atau 60 peratus daripada jumlah perbelanjaan modal akan dibelanjakan di Malaysia.

Katanya, imbangan kira-kira Petronas kekal kukuh dengan jumlah aset berkembang sebanyak 14.4 peratus kepada RM388.1 bilion sementara dana pemegang kepentingan tumbuh sebanyak 15.1 peratus kepada RM232.1 bilion.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url