Populariti Kampung Bujang di Thailand
Di Kampung Rotan Batu, dekat Ban Khai, 70 kilometer (km), Narathiwat, wujud sebuah penempatan yang kecil tetapi tersusun. Ia dikenali sebagai Kampung Bujang atau bujae dalam slanga Melayu loghat Pattani yang seakan-akan dialek Melayu Kelantan.
Di Kelantan, perkataan bujae itu bermakna janda atau ibu tunggal. Ia juga memberi makna yang sama dalam masyarakat Melayu di Selatan Thailand.
Bagi mereka yang bukan berasal dari Kelantan, perkataan itu bererti lelaki atau perempuan yang belum berkahwin.
Kampung Bujang, yang kelihatan seperti sebuah kampung tersusun, menempatkan sebanyak 124 buah rumah yang dihuni lebih 300 orang.
Di pintu masuk ke kampung ini, kelihatan ada kawalan tentera bagi memastikan keselamatan dan mengawasi tetamu yang tidak diundang.
"Jangan saja-saja datang nak mengganggu orang bujang di kampung ini," seloroh Penolong Pegawai Daerah Narathiwat, In On Ketamut, dalam bahasa Melayu yang sama dengan loghat Kelantan kepada penulis ketika berkunjung ke kampung ini.
Sambil meleretkan senyuman, pegawai wanita itu juga menunjuk ke satu arah kedudukan kilang pembuatan barangan berasaskan seramik.
Ibu-ibu tunggal di kampung ini diberi pilihan untuk menceburi bidang yang mereka mahu bagi memperoleh sumber pendapatan. Antaranya ialah pembuatan seramik, tanaman cendawan, buah-buahan, sayur-sayuran, ternakan malah juga tanaman padi.
"Di sini kami bukan untuk menjadikan mereka kaya tetapi cukuplah untuk bujang (ibu tunggal) itu meneruskan kehidupan dan dapat membesarkan keluarga masing-masing," kata In On.
Katanya, jika ibu-ibu tunggal itu tidak dibantu kerajaan dikhuatiri mereka akan terbabit dalam gejala tidak bermoral untuk meneruskan kelangsungan hidup.
In On berkata, kampung ini wujud sejak lima tahun lalu. Bagi anak-anak yang bersekolah, kerajaan juga menyediakan sebuah bas khas bagi membawa mereka berulang alik ke sekolah secara percuma.
Tarikan pelancong
Kerana terkenalnya kampung ini, kerajaan Thailand menjadikannya satu tarikan pelancong ke Narathiwat.
"Anda perlu datang ke sini untuk melihat betapa harmoninya penduduk kampung selain dapat melihat pekerjaan mereka yang rata-ratanya terdiri daripada ibu-ibu tunggal sambil dibantu oleh anak-anak mereka," katanya.
Kerajaan Thailand turut membantu memasarkan produk yang dihasilkan ibu-ibu tunggal dan hasil pendapatannya akan diberi terus kepada mereka.
"Mereka juga boleh menjual terus kepada pembeli yang datang ke kampung terutama dalam kalangan pelancong," katanya.
Sarina Kuno, 34, bersyukur dengan kewujudan kampung ini kerana ia umpama satu rahmat baginya. Sarina mempunyai tiga anak yang masih kecil.
"Suami dah meninggal. Saya rasa gembira dapat kerja dan membesarkan anak-anak," katanya
Menurut Sarina, jika ibu tunggal seperti dirinya tidak dibantu sudah tentu dia hidup dalam keadaan terumbang ambing.
Rumah papan dua tingkat yang dihuni oleh Sarina itu kelihatan sangat selesa. Di ruang bawah tersedia ruang tamu manakala di bahagian atas pula menempatkan dua bilik tidur.
"Syukurlah dapat rumah macam ni. Ini sudah cukup baik daripada apa yang saya lalui dulu," kata Sarina.
Tania Kelian, 24, pula berkata, kehidupannya kini jauh lebih baik dan lebih selamat apabila ditempatkan di kampung itu. Dia memperoleh pendapatan sebanyak RM20 sehari hasil bercucuk tanam.
Ibu tunggal lima anak, Kheng Om, 54, yang mengusahakan sawah padi berkata, tiga anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara hasil dengan hasil tanaman padi.
"Gembira tinggal di sini sebab dapat pitih (wang) lebih. Anak-anak pun dah pergi negara lain belajar," katanya.
Teknologi biodiesel
Lebih membanggakan, anak-anak penduduk Kampung Rotan Batu juga menjadikan bahan buangan seperti minyak masak atau minyak lain diproses menjadi bahan bakar untuk motosikal.
"Teknologi ini macam biodiesel. Apabila bahan buangan itu diproses semula ia boleh membantu seperti dijadikan minyak motosikal," kata In On.
Kampung ini juga mempunyai galeri seramik yang menjual cenderamata kepada pelancong.
Pengalaman berada di kampung ini mungkin boleh memberi idea kepada kerajaan Malaysia sebagai satu kaedah melindungi dan membantu ibu-ibu tunggal dan tanggungan mereka.
- BERNAMA