Proton Exora terus memikat kalbu
Ini adalah artikel keempat mengenai kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia. Dua artikel pertama semasa pandu uji prototaip, artikel ketiga ketika prapelancaran dan yang ini, artikel pascapelancaran.
Benar, sebelum dan selepas pelancaran Exora - kelahirannya telah menjadi igauan kepada syarikat-syarikat kereta lain yang terpaksa beralih kepada kaedah menjadikan Exora sebagai penanda aras, sekali gus 'memburukkan' Exora untuk mencipta markah tambahan kepada model masing-masing.
Benar. Aspek pertama yang dijadikan sasaran ialah kapasiti enjinnya iaitu 1.6 liter yang diulang-ulang cakap oleh pesaing sebagai underpower atau kurang bertenaga. Kedua ialah mutu keseluruhannya. Mereka mendakwa, Proton terkenal dengan pelbagai masalah pada model generasi pertamanya. Elok tunggu setahun dua lagi. Jika ini bukan suatu taktik pemasaran yang 'maha jahat,' anda fikirlah sendiri istilah yang sesuai untuk merumuskannya.
Persoalannya, apakah yang mendorong jurujual-jurujual kereta lain menjadikan Exora sebagai sasaran contoh? Jika difikirkan dari sudut harga, harga Exora diletakkan pada paras yang berdaya saing.
Pada harga kira-kira RM70,000 untuk M-Line dan RM76,000 untuk Hi-Line, Exora hanya kira-kira RM5,000 daripada sekurang-kurangnya dua jenama kereta MPV buatan Jepun dan China.
Bezanya ialah pakej dalam varian H-Line yang merangkumi pemain video dan paparan LCD, alat sistem navigasi, auto cruise dan kerusi sarung kulit menjadikan Exora berada di kedudukan lebih menarik. Tetapi semua tahu semuanya itu bersifat aksesori. Tentunya jenama kereta lain pun boleh mengadakannya, jika mahu.
Tetapi untuk memburuk-burukkan Exora, semata-mata mahu menjual kereta masing-masing, adalah menyalahi etika perniagaan.
Penulis menerima maklumat mengenai pasukan pemasaran sebuah syarikat yang menyediakan hujah-hujah untuk jurujualnya bagi menunjukkan keburukan Exora berbanding kereta mereka.
Ini amat mendukacitakan - sama seperti hakikat terlalu banyak jenama yang berstatus kereta nasional di negara ini dan saling bersaing sesama sendiri.
Selepas menguji unit prototaip dan sekarang varian yang dijual kepada umum, penulis memulakan pandu uji berjarak jauh iaitu dari Kuala Lumpur ke Taiping sejauh 300 kilometer (km) dan berpatah balik menjadikan keseluruhan perjalanan 600 km. Anggaran awal menunjukkan ia akan cukup untuk meliputi satu tangki penuh Exora.
Perjalanan jarak jauh ini lazimnya dilakukan mengikut beberapa fasa iaitu memandu biasa (110 km/j), pecutan (140 km/j ke atas), mendaki bukit (laluan ke utara terdapat dua bukit tinggi iaitu Gua Tempurung dan Terowong Ipoh), penggunaan auto cruise, pemanduan agresif (kekal dalam kelajuan 140km/j dalam jarak dan tempoh yang panjang, misalnya 5 km) dan tentunya memotong dan mengambil selekoh.
Bermula di Plaza Tol Bukit Lanjan pada kira-kira pukul 11.55 malam, Exora diuji menggunakan kaedah-kaedah di atas. Ini termasuk berhenti selama 15 minit di Kawasan Rehat Tapah (terliur jambu batu pula di tengah-tengah malam!) dan tiba di Plaza Tol Kamunting Utara.
Dalam purata kelajuan 140 km/j (tolak 15 minit berhenti di Tapah), Exora berjaya dipacu dalam tempoh dua jam sahaja. Ini tidaklah jauh sangat dari rekod pandu uji sebuah kereta sedan Eropah yang kami catat 1 jam 30 minit (bagi jarak sama).
Benar, enjinnya ada sedikit 'lembap' terutama semasa memecut, memotong dan mendaki bukit. Tetapi apakah 'lembap' suatu istilah yang tepat untuk menggambarkan kapasiti enjin Campro 1.6 CPS ini? Semasa pandu uji itu, kepala penulis berputar mencari persamaan dan perbezaan.
Enjin Exora ini sebenarnya memiliki perwatakan. Dan kereta yang memiliki perwatakan tersendiri ialah Alfa Romeo yang menggunakan sistem transmisi Selespeed.
Alfa Romeo adalah satu-satunya kereta yang mengenepikan trend Eropah kerana Selespeed semasa pertukaran gear, memberi satu bentuk 'kuasa terjahan' atau tersengguk bagi yang tidak biasa dengannya. Alfa mengekalkannya tatkala pembuat kereta lain sibuk mencipta transmisi gear yang bertukar tanpa rasa dan lancar. Ini watak Alfa.
Dan watak Exora ialah enjin 1.6 liter ini ialah ia perlu dipacu lebih awal dengan kuasa diteran sehingga 4,000 revolusi per minit (rpm) dan dikekalkan ke paras itu bagi mendapatkan daya pecutan yang dikehendaki. Ini bukan lembap atau underpower. Pemandu atau pemiliknya harus mengenali dan mesra sepenuhnya dengan kaedah pengendalian enjin Campro CPS ini.
Contoh mudah ialah apabila hendak mendaki bukit, enjin hendaklah dipacu sekurang-kurangnya satu kilometer dari anak bukit, bukan di kaki bukit. Acapkali bila kuasa hanya dipacu di kaki bukit, enjin akan meraung - pemandu akan resah dan kos bahan api bertambah.
Minggu lalu, Proton mengumumkan hampir 10,000 tempahan terhadap Exora telah diterima. Nampaknya usaha syarikat-syarikat lain tidak begitu berkesan untuk menghentikan minat orang ramai kepada kereta nasional ini.
Rakyat Malaysia tahu bahawa Exora adalah sebuah MPV yang dibina khusus untuk mereka, dengan ciri-ciri yang menepati naluri dan kehendak mereka termasuk cangkuk di hadapan dashboard penumpang depan yang boleh disangkutkan teh tarik atau apa sahaja beg plastik; serta dijual pada harga yang berdaya saing. Ia masih mahal tetapi tidaklah terlampau, dan lagi sebagai sebuah kereta nasional, banyak institusi kewangan memberikan pakej-pakej pembiayaan yang menarik bagi memudahkan orang ramai memilikinya.
Persoalan kualiti juga tidak seharusnya dikhuatiri. Sekurang-kurangnya orang ramai atau pemilik Proton tahu bahawa isu itu kini menjadi perhatian besar pucuk pimpinan pengurusan Proton yang baru sahaja disambung kontrak itu.
Malah, pasukan komunikasi dan hal ehwal awamnya juga sudah melalui proses rombakan dan menyaksikan profesional muda menerajuinya. Mereka ini diharap akan lebih responsif supaya usaha memulihkan keyakinan pelanggan Proton yang dimulakan dua tahun lalu (Proton iCare), akan berjaya dalam erti kata sebenar.
- UTUSAN